:: iklaneka ::

Sunday, April 6, 2008

KUALA LUMPUR INTERNATIONAL BOOK FAIR (KLIBF)

KUALA LUMPUR INTERNATIONAL BOOK FAIR (KLIBF) - PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR

Bermula 4 - 13 April 2008, KLIBF telah diadakan di PWTC, KL dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Banyak syarikat dan ajensi perbukuan telah mengambil bahagian. Saya pun tidak melepaskan peluang ini untuk mencari bahan-bahan bacaan yang terbaru. Apabila sampai sahaja di perkarangan aras pertama PWTC, begitu ramai manusia yang dahagakan ilmu dan tidak kurang juga yang datang saja-saja dan nak berdua-duaan. Pelik tetapi benar.
Jadi saya pun meninjau gerai-gerai yang ada disitu, antara yang menjadi perhatian saya ialah gerai pameran MPH. Banyak benar buku-buku ilmiah dan umum yang dijual di gerai MPH. Tetapi satu sahaja yang menjadi masalah, bukunya mahal-mahal belaka walaupun selepas diberi potongan diskaun. Tak mengapalah, mungkin ada banyak lagi gerai lain yang lebih menarik. Jadi tanpa berfikir panjang, saya terus ke aras dua. Begitu ramai juga orang di aras dua. Jalan himpit-himpitlah saya.

Sedang asyik mencari gerai-gerai yang menarik, saya tak jumpa juga gerai yang menarik. Jadi sekali lagi saya memanjat gunung PWTC. Ke aras tiga! Apabila tiba di aras tiga, saya dapati beginilah khalayak yang mengunjunginya (lihat gambar kat atas). Hasilnya, selepas beberapa minit berjalan, melihat dan berfikir, saya pun membeli dua buku yang mana pada saya sesuai dan bagus untuk dibaca buat masa ini :-)

[ Orang tak ramai sangat kerana banyak buku ilmiah yang serius ]


[ Sama juga keadaannya di sini ]

[ Yang ini ramai sedikit kerana banyak buku terpakai ]

[ Semuanya buku ilmiah yang berat dan serius ]

[ Ini buku-buku yang saya beli ]




* Susah kita nak mengubah masyarakat Malaysia agar membaca dan membaca, melainkan masyarakat Malaysia itu sendiri membaca. *** Saya sendiri pun malas membaca tapi usaha.

~ Al-Farabi

Saturday, April 5, 2008

PEMBLOG atau BLOG yang bermasalah ?

Bahasa dalam BLOG makin menjadi masalah kepada ramai penggiat bahasa dan pencinta bahasa. Mungkin kerana kecelaruan yang terkandung dalam setiap blog yang sememangnya lebih bersifat "funky" dan terlampau bebas tulisannya. Namun begitu, bagi saya tulisan dalam blog ini sememangnya bersifat demikian kerana blog hanya boleh didapati di dunia tanpa sempadan (borderless-world) dan seharusnya pertikaian mengenai corak dan jenis bahasa yang digunakan tidak seharusnya dijadikan fokus utama. Apa yang perlu difokuskan ialah isu yang dimainkan oleh setiap pemblog. Isu-isu yang diutarakan mungkin dan kadang-kadang panas, sensitif, mengampu, memberi maklumat, info terkini, rungutan, bantahan dan pelbagai genre isu.


Baru-baru ini saya ada membaca beberapa artikel di dalam majalah arus perdana yang membicarakan masalah bahasa blog. Rata-rata tumpuan artikel lebih kepada "kekacauan bahasa blog" dan masalah yang sering timbul dalam bahasa blog. Banyak artikel tersebut membidas pemblog-pemblog yang menggunakan bahasa yang kacau dalam blog-blog mereka. Mereka seharusnya tahu dan sedar bahawa maklumat-maklumat yang ada di internet terlalu mudah, banyak, cepat dan terkini. Jadi tidak sepatutnya bahasa blog menjadi bahan bidasan mereka.



Anda boleh lihat pelbagai variasi blog yang bersifat individu. Untuk pengetahuan kita semua, blog pada asalnya dicipta untuk mencatat diari perjalanan hidup seseorang individu. Itulah objektif utama blog dicipta. Namun kini, blog diperluaskan kepenggunaannya kepada pelbagai jenis kegunaan. Namun tidak dinafikan selari dengan peristiwa semasa dan isu semasa yang dimainkan oleh ramai pemblog menyebabkan penggunaan bahasa di dalam blog menjadi semakin pelik, runcing, kacau dan tidak bersifat baku. Sebagai contoh isu melibatkan kenaikan harga barangan, ada sesetengah pemblog yang menggunakan kesempatan isu tersebut untuk menguraikan dan melebarkan lagi liputan isu dengan mengaitkannya dengan isu-isu yang lain. Hasilnya, setiap perkataan yang dipaparkan di blog mereka ada yang betul dan ada yang tak betul. Ada yang baku dan ada yang kedaerahan. Ada yang sopan dan ada yang biadap. Ada yang sederhana dan ada yang melampau.


Kedinamikan blog telah melahirkan ramai komuniti sastera, teknokrat, jurnalis, pengembara, jutawan, ahli perniagaan, broker saham dan usahawan IKS. Setiap artikel yang dimasukkan dan ditulis di dalam blog tidak perlu melalui proses dan prosedur yang teliti dan ketat berbanding artikel yang dihantar dan disiarkan di dalam media cetak. Sesiapa sahaja boleh berkarya dan menulis artikel dengan bebas tanpa sebarang sekatan dan tapisan. Senario ini menyebabkan industri penulisan tradisional tercabar dan perlu bersaing dengan penulisan blog kerana penulisan blog lebih mudah, cepat, percuma, tiada proses dan kerenah birokrasi yang banyak, interaktif dan boleh dikongsi dengan pelbagai peringkat pembaca tanpa had.


Minggu lepas, mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengumumkan bahawa beliau akan membina blog sendiri dan menggunakan blog sebagai wadah untuk mendengar masalah dan aduan, membela dan menjaga kebajikan rakyat Selangor dengan baik dan berkesan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau kerana telah menceburkan diri dalam lapangan blog. Memang benar, jika kita teliti perkembangan lapangan blog di negara jiran seperti Indonesia, Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo) Indonesia, Muhammad Nuh telah merasmikan Hari Blog Nasional yang disambut pada 27 Oktober 2007. Hari Blog Nasional ini telah diperkenalkan oleh kerajaan Indonesia sebagai tanda menghargai dan pengiktirafan kerajaan Indonesia kepada penulis blog di republik tersebut. Suara penulis blog didengar oleh kerajaan. Pemblog menjadikan blog sebagai wahana mengekspresikan diri dengan pandangan dan maklum balas tetapi mereka perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka (Teks temubual oleh wartawan Dewan Budaya edisi Mac 2008 dengan seorang penulis dan pemblog terkenal Zamri Mohamad). Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, boleh disimpulkan bahawa blog merupakan wadah dan wahana yang baik dan berkesan untuk menyampaikan mesej dan info dengan tepat, benar, mudah, cepat, percuma dan berkesan. Jadi tidak sepatutnya kita menuding jari menyalahkan pemblog-pemblog yang ada sekarang ini menggunakan bahasa kacau atau bahasa rojak dalam menyampaikan mesej mereka. Itu semua terpulanglah kepada mereka asalkan tidak timbul isu dan masalah fitnah, menghasut dan isu-isu negatif yang lain.


Sepatutnya kerajaan perlulah menubuhkan satu badan khas yang bebas untuk memantau dan mengawal blog-blog yang ada agar tidak terlalu kacau dan rojak. Itu adalah pandangan saya tentang isu ini dan diharapkan ianya akan menjadi suatu garis panduan untuk kebaikan kita bersama. Terpulanglah pada individu masing-masing untuk menilai dan mentafsirkannya mengikut acuan sendiri asalkan tidak melanggar batas-batas agama, adab dan budaya.

~ Al-Farabi

Sunday, March 16, 2008

Bina Laman Web Dengan NVU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya akan memberi sedikit rebiu tentang buku saya yang bakal terbit iaitu : "Bina Laman Web Dengan NVU". Rebiu ini adalah sedikit ringkasan daripada buku tutorial tersebut. Pertama sekali buku ini akan memberi pengenalan tentang apa itu laman web secara total tetapi ringkas sedikit. Namun cukup untuk memberi gambaran kasar mengenai apa itu laman web, konsepnya, kaedah pembangunannya dan sebagainya. Selepas itu saya akan mendedahkan asas kepada pembangunan laman web iaitu Basic HTML, HTML Lanjutan dan PERMULAAN KEPADA PEMBANGUNAN LAMAN WEB YANG RINGKAS.

Kepada yang berminat untuk membina laman web yang berkonsepkan diari dan peribadi, saya akan dedahkan bagaimana corak pembangunan laman web yang menepati konsep diari dan peribadi. Namun begitu, mesti ramai dikalangan rakan-rakan pelawat yang ingin tahu bagaimana caranya nak bina laman web perniagaan??? Saya akan dedahkan kaedahnya secara perlahan-lahan, langkah demi langkah tetapi hanya untuk peringkat permulaan sahaja. Saya akan memberi mendedahkan cara membina laman web perniagaan yang yang berkonsepkan : "SATU LAMAN SATU PRODUK". Mudah jer!!! Anda tidak perlu belajar HTML dengan mendalam, menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata untuk belajar bina laman web. Saya akan tunjukkan caranya secara langkah demi langkah tanpa sebarang tapisan. :-))

Tak percaya ???? Kalau tak percaya, belilah buku "BINA LAMAN WEB DENGAN NVU". Buku ini akan terbit dalam masa 7 bulan lagi, insyaAllah! Mudah jer!!! Beserta dengan buku ini saya lampirkan satu keping CD yang mengandungi perisian percuma NVU, FileZilla, 7-ZIP, GIMP, Inkscape dan banyak lagi. Hanya untuk anda !!! Jadi anda tak perlu risau tentang kos yang mungkin timbul. Apa yang anda perlu fikir adalah bila nak beli buku ni ????? Bila nak mula baca ????? Bila nak mula praktikkan ilmu ini ????? Dan bila nak tanya saya tentang buku ini ?????

Ikutilah perkembangan terbaru mengenai buku tersebut di laman blog ini setiap hari secara percuma !!!! Tak perlu bayar, anda baca saja. ILMU ITU SUKAR DICARI BAGI ORANG YANG TAK NAK BELAJAR. HEHEHE.... :-))

Sekian, wassalam.


~ Al-Farabi
myhottips@yahoo.com



Friday, March 14, 2008

DITIPU OLEH PERISIAN PERCUMA ???

Intro

Anda gemar memuat turun perisian PERCUMA (FREEWARE) dari internet? Di sini saya akan dedahkan beberapa langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengelak dari menjadi mangsa instalasi program yang mengandungi spyware dan adware. Anda juga boleh mempelajari beberapa langkah perlindungan yang baik terhadap hak-hak butiran peribadi anda. Tidak benda di dunia ini yang percuma melainkan helah semata-mata, betul tak ? Hal ini samalah juga dengan penggunaan perisian percuma. Kemungkinan ada di antara kita yang percaya bahawa banyak syarikat perisian di seluruh dunia menawarkan kita perisian percuma (FREEWARE) untuk mengetahui lebih lanjut apakah manfaat yang boleh kita dapat dari perisian percuma yang mereka bangunkan tersebut. Kadang-kadang perisian percuma tersebut disebarkan secara percuma sekadar untuk tujuan suka-suka, ujian pasaran (market testing) dan sebagainya. Walaubagaimanapun, itu semua jauh dari kebenaran atau indah khabar dari rupa. Dalam kebanyakan situasi atau kes, perisian percuma ini kebanyakannya digunakan sebagai umpan untuk mempengaruhi pengguna samaada memasang perisian yang mengandungi spyware atau lebih buruk lagi untuk memberi kebenaran secara mudah dan percuma kepada syarikat atau pembangun tersebut untuk menggunakan maklumat peribadi yang telah dihantarkan oleh pengguna kepada mereka. Maklumat peribadi mungkin terdiri daripada nama pengguna, nombor telefon, alamat rumah dan gambar, maklumat bank secara terperinci dan maklumat kad kredit.

Sebelum anda menghubungi peguam bela anda dengan tujuan hendak menyaman mana-mana syarikat yang memberi anda perisian yang jahat ini, lebih baik anda tarik nafas panjang-panjang, berfikir sejenak dan berhenti seketika. Kemungkinan maklumat yang berkaitan dengan perjanjian antara anda dengan pembangun atau syarikat perisian tersebut telah diberikan kepada anda dan anda dengan mudah-mudah tanpa berfikir berkali-kali telah mempersetujuinya.

Adakah anda masih ingat satu dokumen perjanjian yang dipanggil Terms and Conditions yang telah dipersetujui oleh anda ketika anda memasang (install) perisian percuma tersebut. Dengan mudah anda memilih ‘I agree’ tanpa membaca dengan hati-hati keseluruhan dokumen perjanjian tersebut yang memungkinkan anda untuk menyesal di kemudian hari. Saya bersetuju jika anda menyatakan dokumen perjanjian (license agreements ) ini terlampau panjang dan penuh dengan ayat-ayat yang berbelit-belit dan sukar difahami; keseluruhan EULA ( End-User License Agreements ) mengandungi 3000 patah perkataan dan jika dicetak akan tercetak pada tujuh helai muka surat. Wow!!! Biar betul??? Ini merupakan faktor utama kenapa kebanyakan pengguna malas hendak membacanya dan kenapa banyak syarikat pembangun perisian sanggup menentang balik mana-mana pengguna yang cuba hendak menyaman mereka. Jadi bagaimana caranya anda boleh membaca dokumen perjanjian ini tanpa melihat dengan hati-hati perinciannya ??? Jangan menggelabah!!! Saya akan tunjukkan bagaimana caranya untuk memanfaatkan perisian tersebut tanpa perlu mendedahkan maklumat peribadi anda kepada orang lain.

Bagaimana pembangun perisian membuat duit secara senyap-senyap ???
Berapakah harga sebuah perisian percuma ??? Perisian percuma akan menyebabkan anda kerugian banyak ! Walaupun anda tidak kerugian wang ringgit, anda akhirnya terpaksa membayar harga yang mahal di atas kerugian yang menimpa lantaran bahana perisian percuma. Baca dengan teliti pendedahan berikut untuk mengetahui lebih lanjut >

Anda pernah dengar istilah eWALLET Software ? Sebagai pertukaran kepada eWallet software yang membantu anda menjejak kata laluan anda, ia juga akan memasang perisian lain pada PC anda. Perisian hantu ini akan menjejak dan mengkaji tabit pelayaran internet anda dan akan memaparkan iklan popup berdasarkan tabiat pelayaran internet anda. Sebagai contoh, anda gemar melayari laman web lagu-lagu Inggeris, maka perisian tersebut akan memaparkan iklan popup dari internet yang berkaitan dengan tabiat pelayaran internet anda itu. Lambakan iklan popup ini akan menyebabkan trafik internet menjadi sesak dan sibuk secara tidak langsung melambatkan talian internet anda. Jadi berhati-hatilah.
Berhati-hati dengan Facebook site. EULA Facebook menyatakan bahawa dengan terang dan jelas bahawa maklumat yang dihantar oleh pengguna akan menjadi hakmilik Facebook. Laman web tersebut berhak untuk menggunakan maklumat peribadi yang diberikan dimana-mana sahaja dan untuk apa-apa urusan tanpa perlu mendapatkan kebenaran dari pengguna.

Apa itu EULA ???
Dokumen perjanjian atau istilahnya EULA ( End-User License Agreement ) seakan-akan dokumen serius yang berkaitan dengan undang-undang. Sebenarnya, ia adalah dokumen undang-undang yang mengawal perisian yang ada pasang dengan kaedah undang-undang. EULA biasanya dipaparkan kepada anda sebelum anda pasang atau muat turun perisian tersebut. Anda dikehendaki untuk menandakan pada kekotak yang mengesahkan anda telah membaca EULA tersebut. Mengikut terma undang-undang ianya samalah seperti menandatangani kontrak pada kertas. Walaupun pengwujudan EULA ini masih menjadi isu pertikaian dan perdebatan semenjak kebanyakan kritikan mempercayai lesen ini juga bertindak sebagai kaedah untuk melindungi hak lesen pembekal.

Kenapa anda perlu membaca EULA???

Faedah yang paling besar membaca EULA ialah menjawab segala pertanyaan dan isu tentang penggunaan perisian tersebut. Sebagai contoh, apabila membeli perisian, kebanyakan pengguna tidak menyedari yang mereka sebenarnya tidak menjadi pemilik yang sah kepada perisian tersebut. Mereka hanya membeli lesen untuk menggunakan perisian tersebut. Ini bermakna pembangun perisian tersebut masih mempunyai segala hak termasuk hakcipta terhadap perisian tersebut. Membaca EULA akan membolehkan anda memahami samaada anda boleh melakukan beberapa berikut selepas membeli perisian tersebut atau pun ketika menggunakan perisian tersebut :

1) Menggunakan grafik, fon dan fail-fail yang terdapat dalam perisian tersebut ketika melakukan rekaan grafik komersial.
2) Anda membeli perisian yang dibawah lesen pelajaran / pendidikan kemudian menggunakannya untuk tujuan komersial.
3) Memasang perisian tersebut pada lebih dari satu komputer.
4) Melihat perisian yang lama setelah membeli perisian yang baru.
5) Menyebarkan hasil-hasil kerja yang terdapat dalam perisian tersebut tanpa membuat bayaran lesen tambahan.

Sebab lain kenapa anda perlu membaca EULA adalah untuk melindungi diri anda daripada memberi maklumat peribadi anda dan memusnahkan hak peribadi anda. Anda mungkin tahu metod yang digunakan oleh banyak syarikat pembangun perisian untuk memeriksa cara anda melayari internet. Jadi membaca EULA akan membantu anda agar berhati-hati samaada anda sedang diperhatikan atau tidak.

Tambahan pula, spyware dan adware yang dipasangkan bersama dengan perisian percuma tersebut akan memakan banyak ruangan cakera keras, memori dan banyak sumber PC anda yang lain. Talian internet anda yang pantas dan laju seperti kilat mungkin akan menjadi lambat dan perlahan kerana spyware akan menggunakan talian internet anda untuk mendapatkan maklumat untuk dipaparkan kepada anda. Lebih buruk lagi, ia juga akan menghantar keluar maklumat dari PC anda. Ini bermakna nilai tambahan kepada perisian percuma yang anda pasang itu – kerana anda tidak membaca EULA dengan hati-hati – sekarang sedang menggunakan secara mudah-mudah dan percuma semua kemudahan PC yang anda bayar. Teruknya !!!

Dalam sesetengah kes, EULA boleh juga melindungi mana-mana firma dari liability kepada mana-mana kegagalan produk perisian, walaupun syarikat itu sememangnya telah menyedari bahawa perisian tersebut mengalami kegagalan ( faulty ) sebelum menjualnya lagi. Membaca EULA yang telah dikemaskini juga adalah teramat penting kerana walaupun pemilik semasa perisian tersebut telah bersumpah untuk menyimpan dan melindungi privasi maklumat peribadi anda, akan sentiasa ada peluang untuk syarikat tersebut dijual dan diambil alih oleh pemilik yang baru yang mana tidak akan teragak-agak untuk menjual segala maklumat peribadi anda untuk keuntungan yang cepat.

Dimanakah anda boleh membaca EULA ???

Anda terlupa atau terlepas untuk membaca EULA setelah membeli perisian dan ingin membacanya semula. Walaupun anda mengabaikan EULA pada peringkat awal instalasi ( pemasangan ) perisian atau laman web tersebut, jangan menggelabah !!! Anda masih boleh membacanya dan anda boleh ke laman web perisian tersebut. Jika anda memuat turun perisian tersebut dari laman web, dengan mudah layari laman yang ada ‘Terms’ perisian tersebut untuk membaca EULAnya. Jika anda membeli perisian baru, anda juga akan menerima hard copy kepada EULA di dalam pakej perisian tersebut. Jika perisian itu telah dipasang ( install ), navigasi ke program files untuk membaca EULA, jika anda tidak menjumpainya di situ, anda boleh pasang sekali lagi ( reinstall ) perisian tersebut.

Pendek kata ….
Anda tidak perlu menjadi manusia yang panik, paranoid dan gelabah memikirkan semua laman web akan mengkhianati anda. Apa yang perlu anda lakukan ialah berfikirlah dengan hati-hati, berkali-kali dan terperinci sebelum memberi maklumat peribadi anda kepada individu lain yang tidak dikenali atau dikenali. Itu tidak bermakna anda perlu hidup secara sepenuhnya privasi atau berseorangan. Dengan kata mudah, anda tidak perlu mendedahkan maklumat yang tidak sepatutnya didedahkan kepada awam. Adalah amat menakjubkan jika anda sanggup membaca EULA tersebut sampai habis sebelum membuat keputusan. Jika anda tidak mampu, anda boleh menggunakan perisian analisis EULA yang boleh didapati dari internet, hanya taipkan EULA analyzer dalam mana-mana enjin pencari dan pilihlah perisian analisis EULA yang tepat dan sentiasa ingat !!! BACA DENGAN TELITI EULA !!! Sentiasa ingat juga bahawa setiap klik pada PC anda akan memudahkan anda terjebak kepada banyak masalah dan risiko untuk bermasalah. BERHATI-HATILAH SELALU !

~ Al-Farabi

*** Anything anda nak tanya saya, please leave a comment dengan klik link Comments kat bawah yer. -V

Monday, March 10, 2008

Errors Code Windows XP Device Manager

Kadang-kadang jika install sesuatu driver atau device, mungkin akan timbul masalah-masalah yang pelik disebalik instalation tersebut. Ada device yang tak berfungsi, ada driver yang mulfunction. Kadang-kadang ada yang menyebabkan PC restart berkali-kali tanpa diketahui sebabnya dan tanpa diarahkan berbuat demikian. PC adalah benda yang perlu diarahkan untuk beroperasi bukan terarah dengan sendiri. PC masih lagi apa yang teknokrat barat kata DUMMY MACHINE atau dalam bahasa Melayunya MESIN DUNGU. :-) pelik juga kan? Tapi itulah realitinya. Anda boleh capai Device Manager dengan klik kanan pada ikon My Computer > Properties > Hardware tab > Device Manager. Klik kanan pada mana-mana device yang ada exclamation (tanda seruan - !) kemudian klik Properties untuk memaparkan Error Code nya. Mudah je! kan? Sebarang informasi regarding the error yang telah disebut tadi boleh rujuk ke laman web : http://support.microsoft.com/ .

Code 1
No driver installed; problem with the configuration How to solve >> Update driver
Code 3
Driver defect of insufficient working memory How to solve >> Replace driver, upgrade RAM if required
Code 10
Registry entry missing How to solve >> Update driver
Code 12
Two devices have been assigned the same resources How to solve >> Deactivate one of the two drivers
Code 14
Device waiting for PC restart How to solve >> Restart PC

to be continued...

~ Al-Farabi


Sunday, March 9, 2008

SALAM UKHUWAH KEPADA SEMUA!!!

Salam.

Salam ukhuwah untuk semua !!! Jika sekiranya anda ingin bertanyakan tentang info ICT, masalah PC, trouble shoot, webhosting, rekabentuk web, graphic design dan hal-hal berkaitan ICT, bolehlah hubungi saya di
myhottips@yahoo.com

Atau hantar komen pada blog ini. Saya akan bersedia membantu anda 24 jam / 7 hari seminggu dalam memberikan nasihat dan tips-tips penggunaan ICT yang betul dan efektif. Berkunjunglah ke blog saya selalu untuk mendapatkan info-info terkini tentang ICT.

Sekian, wassalam.

"BE A BETTER TEKNOKRAT FOR A BETTER FUTURE OF UMMAH"

~ Al-Farabi
myhottips@yahoo.com

KINI WAKTU BERTERUS TERANG

Ulasan yang bernas dari seorang penganalisis politik yang berpengalaman dan serius. Saya tertarik dengan tulisan beliau yang relevan dan telus. Ada kebenarannya juga tulisan beliau itu. Namun kita sama-samalah mengikuti dan mengkaji analisis dan tulisan beliau ini. Kemudian kita sama-sama membuat penilaian yang matang dan sewajarnya berkenaan dengan isu yang dibincangkan. Jangan lupa untuk memberi komen.

Oleh : A. Kadir Jasin

SESUDAH pengundi Malaysia membuat kata putus dengan memberi kejutan voltan tinggi kepada Barisan Nasional adalah tidak tetap dan tidak wajar lagi bagi sesiapa pun berselindung-selindung dan teragak-agak. Realitinya BN kehilangan banyak kerusi Parlimen, terlepas kawalan ke atas Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta ketewasan beberapa tokoh berprofil tingginya, termasuk tiga orang menteri.

BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah. Kerana dinasihati oleh anggota “kabinet dapur” yang jahil tetapi bongkah serta rakus – mereka yang digelar 3K, JKKK dan Budak Tingkat Empat - dan menyisihkan jentera serta veteran parti, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN sering tersilap membuat perkiraan. Kepemimpinan kerajaan dan parti dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan yang kemudiannya dihebahkan secara meluas oleh media massa arus perdana yang pro-pemerintah. Misalnya:

1. Perdana Menteri, pada hari penamaan calon, menyifatkan pakatan pilihan raya pembangkang sebagai “syok-syok sahaja”;

2. Perdana Menteri yang mencabar penunjuk perasaan supaya menggunakan peti undi sebagai tempat mutakhir menunjuk perasaan;

3. Menteri Kerja Raya yang mengatakan dia sedia berhenti jika rakyat jelata tidak mahukan dia lagi. Dia terus bertanding dan rakyat menyahut seruannya dengan mengundi pembangkang. Maka kecundanglah dia pada hari jadinya yang ke-72;

4. Menteri Penerangan (yang kalah di Sungai Petani) yang menyifatkan para blogger sebagai “syok sendiri.”;

5. Dia juga “bersumpah” akan memastikan lawannya hilang wang pertaruhan. Lawannya tidak hilang wang pertaruhan sebaliknya dia yang hilang kerusi; dan

6. Timbalan Ketua Pemuda (yang menang di Rembau) yang berkata tugasnya adalah memporak-perandakan pembangkang. Malangnya yang berlaku adalah di sebaliknya. Pembangkang memporak-perandakan BN. Sekali pun benar bahawa keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Perdana Menteri menjadi pertikaian, faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi begitu tidak popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekelilingnya.

Dalam tempoh kerjaya kewartawanan saya selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah melihat sekumpulan orang di sekeliling seorang Perdana Menteri yang begitu dicurigai dan dibenci tetapi pada masa yang sama sangat ditakuti. Hasil mengejutkan keputusan pilihan raya ini tidak dapat tidak akan mencetuskan tanda tanya mengenai kewibawaan, integriti serta kesahihan kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Presiden Umno. Apatah lagi banyak calon yang dikaitkan terus dengan Perdana Menteri dan “kabinet dapurnya” seperti Azim Zabidi (Bukit Gantang), Osman Desa (Sik), Zainuddin Maidin (Sungai Petani), Annuar Musa (Ketereh) dan Awang Adek Hussin (Bachok) kecundang. Di pihak pembangkang pula, tindak-tanduk mereka akan diperhatikan dan dinilai bagi memastikan sama ada mereka juga akan menjadi sombong, angkuh dan pendendam kerana kuasa. Atau mereka menjadi pemegang amanah yang berhemah, merendah diri, sederhana dan bertimbang rasa. Dan apakah dasar-dasar dan program-program mereka lebih baik daripada BN.
~ Al-Farabi

KEMENANGAN DEMOKRASI YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Kemenangan demokrasi yang pertama di Malaysia ! Itulah ungkapan paling sesuai untuk menyimpulkan secara keseluruhan keputusan pilihanraya ke-12 / 2008. Rakyat kali ini benar-benar menunjukkan The Power of The Hands of People (kata seorang pujangga) yang menyebabkan kekalahan teruk BN di tangan pakatan pembangkang. Namun realitinya BN masih dalam keadaan tenang mengumumkan pembentukan kerajaan baru dengan kemenangan majoriti mudah. Seharusnya pemerintah akur dan mengakui kuasa yang terdapat pada rakyat lebih kuat dan powerfull berbanding yang ada pada kerajaan kerana kerajaan adalah suara rakyat.


Semestinya setiap undian yang buat adalah menggambarkan suara hati rakyat. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh seorang professor (penganalisis politik semasa) di konti sebuah radio arus perdana yang menyatakan kuasa rakyat terletak pada banyak perkara antaranya melalui senjata, kata-kata, demonstrasi, penulisan artikel, komentar dan yang paling lemah sekali ialah undian atau pilihanraya. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tapi di Malaysia kebebasan bersuara tidak berapa di ambil berat dan penuh perhatian oleh kerajaan. Mungkin mereka menganggap rakyat tidak perlu memberi sebarang komen, kritikan dan sebagainya kerana setiap yang dilakukan oleh kerajaan seperti kenaikan harga barang, minyak, ketelusan projek-projek mega dan sebagainya tidak akan menjadi bahan atau isu untuk menyuarakan suara ketidakpuasan hati rakyat secara total. Akan tetapi, kerajaan terlupa satu perkara bahawa rakyat boleh dan mampu menyuarakan kritikan melalui pilihanraya. Rentetan dari isu-isu yang melibatkan sosioekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya menyebabkan rakyat berfikir berkali-kali untuk membuat undian yang benar-benar memberi kepuasan kepada mereka. Mungkin ada yang memilih pemerintah dan mungkin ada yang memilih pembangkang. Siapa tahu ? Itu semua hak peribadi.
Keputusan yang menggemparkan dan memeranjatkan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi seakan-akan memberi satu mesej kepada kerajaan bahawa banyak kepincangan dan masalah dalaman yang perlu diperbaiki oleh kerajaan. Isu yang melibatkan Islam Hadhari, Hindraf, BERSIH dan banyak lagi isu yang dipandang remeh oleh kerajaan seharusnya ditangani dari awal lagi kerana itu semua membabitkan isu dan kepentingan rakyat. Kata seorang penyampai berita radio, "BN Dilanda TSUNAMI!!!". Benar ke? Saya ingatkan pantai saja yang ada tsunami, rupa-rupanya politik pun ada tsunami.

Y.A.B PM semalam membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengakui rakyat marah dan tidak berpuas hati dengan banyak isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang kesan dari kenaikan minyak, Islam Hadhari dan sebagainya. Beliau gagal menangani masalah tersebut dengan bijak dan berkesan. Tidak berapa lama lagi, kita akan mengikuti rentetan dari kekalahan yang teruk ini. Kritikan demi kritikan akan dilontarkan kepada PM selagi beliau masih gagal mencari punca kepada kekalahan tersebut.

Saya teringat kata-kata mantan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak akan bertahan lama dan akan mengalami kekalahan demi kekalahan. Benar juga kata beliau kerana itulah realiti senarionya pada PRU 12 kali ini. Kita juga perlu ingat, mana-mana kerajaan yang mengamalkan dasar tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur dan akhirnya menyesal kerana tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur akan mengalami kekalahan dan kemarahan rakyat yang berganda.

Sudahlah rakyat dihantui isu kenaikan harga barang, minyak, penyelewengan yang berleluasa, secara tiba-tiba isu hangat pembatalan penggunaan dakwat hitam kekal pada PRU 12 menyebabkan rakyat benar-benar marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Jelas menunjukkan kegagalan demi kegagalan yang berlaku. Seharusnya apa yang kurang diperbaiki. Apa yang lemah diperhalusi. Setiap teguran rakyat samaada melalui demonstrasi, kritikan media, laman blog picisan, laman blog bukan picisan, vcd, ceramah dan sebagainya diambil kira oleh kerajaan dalam membangunkan negara. Itu pun jika kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur dalam melaksanakannya.
Walaubagaimanapun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kekalahan ini merupakan titik tolak kepada demokrasi yang serius dan lebih telus di Malaysia. Sama-samalah kita berdoa agar negara kita ini sentiasa dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera walau berada dalam tangan pemerintah mana-mana sekalipun.
~Al-Farabi

Thursday, March 6, 2008

Muzik juga boleh bertukar menjadi SPAM ?

Jangan terkejut jika anda tersalah klik pada laman web yang salah akan menyebabkan anda menerima lebih 100 email spam sehari. Syukurlah sekarang ini terdapat bermacam-macam perisian penapis spam di pasaran dan ada juga yang boleh didapati secara percuma di internet. Walaubagaimanapun kecanggihan atau kepintaran spam semakin menjadi-jadi sehinggakan kebanyakan perisian penapis spam tidak dapat menapis dan menbersihkan pc anda dengan berkesan. Biasanya spam akan datang dalam bentuk teks yang ringkas. Juru spam selalunya akan menggunakan kaedah licik untuk mencerdikkan spam. Selain teks, spam juga boleh menyerupai imej (.jpeg .gif .tif .bmp). Setakat ini penapis spam akan mencari kombinasi perkataan yang terdapat dalam mesej untuk memutuskan samaada ia adalah email spam atau tidak. Untuk melepasi protokol kawalan aras rendah ini, juru spam biasanya akan menggunakan imej yang memaparkan iklan teks. Penapis spam sudah tentu akan mengenal pasti imej tersebut sebagai JPEG fail dan seterusnya tidak dapat menganalisis kandungannya. Oleh kerana itu, pengimbas terbaru yang dibangunkan oleh firma keselamatan ICT besar sedang memberi tumpuan kepada OCR (Optical Character Recognition) dilengkapi dengan penyekat imej. Perisian tersebut akan mengubah kandungan grafik tersebut kepada teks dan menapis spam yang terdapat pada imej tersebut. Malangnya, kebanyakkan pengimbas atau penapis yang percuma belum mengimplementasikan teknologi ini lagi. Seterusnya, juru spam menukar kaedah spam dengan menggunakan MP3 sebagai spam. Kini, pembangun perisian Anti Virus sedang menganalisa penyebaran spam melalui fail audio (MP3, WAV, WMA). Fail MP3 tersebut akan di attach kan dengan email yang biasanya tidak akan mengandungi sebarang teks atau subjek. Kebiasannya fail yang dibawa bersama email tersebut bernama elvis.mp3 atau Britney.mp3 atau mana-mana fail audio yang lain. Untuk keselamatan pc anda, JANGAN SEKALI-KALI BUKA EMAIL TERSEBUT !!! Bahaya tau!!!

PILIHAN TERBAIK UNTUK NOTEBOOK PERTAMA ANDA !!!




Anda tentu sudah lama mengidamkan NOTEBOOK impian anda berada dalam pelukan anda? Kini penggunaan NOTEBOOK atau komputer bimbit menjadi tren terbaru bagi semua peringkat golongan masyarakat bermula dari pelajar sekolah, pelajar ipt, peniaga, ahli perniagaan, professional, penulis, pegawai eksekutif malah kerani am pejabat. Harganya makin murah dan makin mampu untuk dimiliki. Namun begitu seharusnya kita berhati-hati ketika membeli mana-mana barang keperluan ICT terutama sekali NOTEBOOK. Di sini kita akan meneliti beberapa garis panduan atau tips dalam membeli NOTEBOOK terbaik, berpatutan dan yang penting sekali selamat untuk digunakan :




1) Unit Pemprosesan Pusat atau Central Processing Unit (CPU) adalah penting kerana semakin laju CPU maka semakin laju NOTEBOOK. Tapi harus diingat walaupun CPU tersebut laju dan mempunyai kelajuan Clock yang tinggi, tak bermakna ia mampu melakukan tugas dengan beban yang berat. Sebagai contoh : NOTEBOOK dengan CPU Intel Celeron D 2.0 GHz tidak sama dengan NOTEBOOK CPU Intel Pentium Dual Core 1.6 GHz kerana Intel Pentium Dual Core walaupun mempunyai kelajuan Clock yang rendah berbanding Intel Celeron D iaitu 1.6 GHz tapi kelajuannya dua kali ganda lebih laju dari Intel Celeron D. Ia bekerja seakan-akan dua CPU walaupun CPU nya hanya satu. Perlu diingat !!! Akan tetapi CPU yang paling laju dan latest sekarang ialah Intel Core 2 Duo. Jadi, pilihlah NOTEBOOK yang dilengkapi dengan CPU Intel Core 2 Duo.





2) Ingatan Capaian Rawak atau Random Access Memory (RAM) juga memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan tugas-tugas komputer. Ia adalah merupakan ingatan sementara yang akan menjadi pembantu yang baik kepada CPU. Semakin tinggi RAM maka semakin laju dan pantas NOTEBOOK itu beroperasi. Seelok-eloknya pilihlah NOTEBOOK yang mempunyai RAM : 1GB atau 2GB DDR2-RAM.





3) Cakera Keras atau Hard Disk (HDD) merupakan tempat simpanan data-data dan fail-fail pengguna. Jika anda gemar mengambil gambar dan mendengar lagu atau menyimpan banyak data-data penting maka ruang Hard Disk yang besar amat diperlukan. Contohnya 120 GB atau 160 GB. Pastikan ianya adalah Hard Disk SATA dengan kelajuan 5400RPM atau lebih.





4) Kad grafik juga memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan hasil yang menarik dan berkesan terutama bagi pereka grafik yang professional yang sentiasa bergerak. Pastikan ianya Intel Graphics Media Accelerator X3100 atau lebih. Bagi hasil yang maksimun pastikan NOTEBOOK itu didatangkan dengan kad grafik ATI Radeon 128MB atau 256MB dedicated RAM.





5) Pasikan pemacu DVD-RW sebagai pemacu optical yang menjadi pilihan utama. Kebanyakkan model NOTEBOOK yang ada dipasaran dilengkapi dengan pemacu DVD-RW. Ini bermakna ia mampu membaca dan menulis CD-R, CD-RW, DVD, DVD-R, DVD-RW. Berhati-hati ya! Kerana ada di kalangan penjual cuba mengaburi mata pembeli dengan meletakkan DVD + CD-RW. DVD + CD-RW tidak sama dengan DVD-RW.




6) Untuk penggemar CHAT dan Video Conferencing, pastikan NOTEBOOK pilihan anda dilengkapi dengan kamera digital web integrated 2.0 Mega Piksel dengan Mikrofon terbina dalam (built-in).





7) Untuk akses internet, pastikan WiFi Intel Pro / Wayarles 3945 802.11 a / g / n dipasang pada NOTEBOOK anda. Biasanya ia Built-In. Cuma pastikan ianya ada ya. Kini teknologi WiFi draft N menjadi rebutan penggemar wayarles internet. Jadi pastikan ianya boleh diserasikan dengan internet wayarles draft N.





8) Jika NOTEBOOK itu didatangkan dengan FREEDOS atau tiada Sistem Pengoperasian yang dipasang siap, anda pilihlah Microsoft Windows XP Profesional. Tentu anda ingin mendapatkan sistem pengoperasian yang latest. Tapi untuk pengetahuan anda, Microsoft Windows Vista masih dalam peringkat testing market. Ini bermakna Windows Vista masih belum stabil dan banyak kekurangan. Lagipun Windows Vista tidak mampu untuk menyokong banyak perisian-perisian atau perkakasan yang lama. Kebiasaannya sistem pengoperasian keluaran syarikat Microsoft mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk stabil dan benar-benar selamat dan berkesan untuk digunakan. Jadi, kesimpulannya gunalah Microsoft Windows XP Profesional (harganya sekitar RM450 – RM500).





Itulah beberapa tips atau panduan yang saya mampu berikan kepada anda dalam memilih NOTEBOOK yang terbaik untuk anda. Jadilah pengguna yang bijak dan sederhana. :-)







Al-Farabi

 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com