:: iklaneka ::

Sunday, March 9, 2008

SALAM UKHUWAH KEPADA SEMUA!!!

Salam.

Salam ukhuwah untuk semua !!! Jika sekiranya anda ingin bertanyakan tentang info ICT, masalah PC, trouble shoot, webhosting, rekabentuk web, graphic design dan hal-hal berkaitan ICT, bolehlah hubungi saya di
myhottips@yahoo.com

Atau hantar komen pada blog ini. Saya akan bersedia membantu anda 24 jam / 7 hari seminggu dalam memberikan nasihat dan tips-tips penggunaan ICT yang betul dan efektif. Berkunjunglah ke blog saya selalu untuk mendapatkan info-info terkini tentang ICT.

Sekian, wassalam.

"BE A BETTER TEKNOKRAT FOR A BETTER FUTURE OF UMMAH"

~ Al-Farabi
myhottips@yahoo.com

KINI WAKTU BERTERUS TERANG

Ulasan yang bernas dari seorang penganalisis politik yang berpengalaman dan serius. Saya tertarik dengan tulisan beliau yang relevan dan telus. Ada kebenarannya juga tulisan beliau itu. Namun kita sama-samalah mengikuti dan mengkaji analisis dan tulisan beliau ini. Kemudian kita sama-sama membuat penilaian yang matang dan sewajarnya berkenaan dengan isu yang dibincangkan. Jangan lupa untuk memberi komen.

Oleh : A. Kadir Jasin

SESUDAH pengundi Malaysia membuat kata putus dengan memberi kejutan voltan tinggi kepada Barisan Nasional adalah tidak tetap dan tidak wajar lagi bagi sesiapa pun berselindung-selindung dan teragak-agak. Realitinya BN kehilangan banyak kerusi Parlimen, terlepas kawalan ke atas Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta ketewasan beberapa tokoh berprofil tingginya, termasuk tiga orang menteri.

BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah. Kerana dinasihati oleh anggota “kabinet dapur” yang jahil tetapi bongkah serta rakus – mereka yang digelar 3K, JKKK dan Budak Tingkat Empat - dan menyisihkan jentera serta veteran parti, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN sering tersilap membuat perkiraan. Kepemimpinan kerajaan dan parti dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan yang kemudiannya dihebahkan secara meluas oleh media massa arus perdana yang pro-pemerintah. Misalnya:

1. Perdana Menteri, pada hari penamaan calon, menyifatkan pakatan pilihan raya pembangkang sebagai “syok-syok sahaja”;

2. Perdana Menteri yang mencabar penunjuk perasaan supaya menggunakan peti undi sebagai tempat mutakhir menunjuk perasaan;

3. Menteri Kerja Raya yang mengatakan dia sedia berhenti jika rakyat jelata tidak mahukan dia lagi. Dia terus bertanding dan rakyat menyahut seruannya dengan mengundi pembangkang. Maka kecundanglah dia pada hari jadinya yang ke-72;

4. Menteri Penerangan (yang kalah di Sungai Petani) yang menyifatkan para blogger sebagai “syok sendiri.”;

5. Dia juga “bersumpah” akan memastikan lawannya hilang wang pertaruhan. Lawannya tidak hilang wang pertaruhan sebaliknya dia yang hilang kerusi; dan

6. Timbalan Ketua Pemuda (yang menang di Rembau) yang berkata tugasnya adalah memporak-perandakan pembangkang. Malangnya yang berlaku adalah di sebaliknya. Pembangkang memporak-perandakan BN. Sekali pun benar bahawa keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Perdana Menteri menjadi pertikaian, faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi begitu tidak popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekelilingnya.

Dalam tempoh kerjaya kewartawanan saya selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah melihat sekumpulan orang di sekeliling seorang Perdana Menteri yang begitu dicurigai dan dibenci tetapi pada masa yang sama sangat ditakuti. Hasil mengejutkan keputusan pilihan raya ini tidak dapat tidak akan mencetuskan tanda tanya mengenai kewibawaan, integriti serta kesahihan kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Presiden Umno. Apatah lagi banyak calon yang dikaitkan terus dengan Perdana Menteri dan “kabinet dapurnya” seperti Azim Zabidi (Bukit Gantang), Osman Desa (Sik), Zainuddin Maidin (Sungai Petani), Annuar Musa (Ketereh) dan Awang Adek Hussin (Bachok) kecundang. Di pihak pembangkang pula, tindak-tanduk mereka akan diperhatikan dan dinilai bagi memastikan sama ada mereka juga akan menjadi sombong, angkuh dan pendendam kerana kuasa. Atau mereka menjadi pemegang amanah yang berhemah, merendah diri, sederhana dan bertimbang rasa. Dan apakah dasar-dasar dan program-program mereka lebih baik daripada BN.
~ Al-Farabi

KEMENANGAN DEMOKRASI YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Kemenangan demokrasi yang pertama di Malaysia ! Itulah ungkapan paling sesuai untuk menyimpulkan secara keseluruhan keputusan pilihanraya ke-12 / 2008. Rakyat kali ini benar-benar menunjukkan The Power of The Hands of People (kata seorang pujangga) yang menyebabkan kekalahan teruk BN di tangan pakatan pembangkang. Namun realitinya BN masih dalam keadaan tenang mengumumkan pembentukan kerajaan baru dengan kemenangan majoriti mudah. Seharusnya pemerintah akur dan mengakui kuasa yang terdapat pada rakyat lebih kuat dan powerfull berbanding yang ada pada kerajaan kerana kerajaan adalah suara rakyat.


Semestinya setiap undian yang buat adalah menggambarkan suara hati rakyat. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh seorang professor (penganalisis politik semasa) di konti sebuah radio arus perdana yang menyatakan kuasa rakyat terletak pada banyak perkara antaranya melalui senjata, kata-kata, demonstrasi, penulisan artikel, komentar dan yang paling lemah sekali ialah undian atau pilihanraya. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tapi di Malaysia kebebasan bersuara tidak berapa di ambil berat dan penuh perhatian oleh kerajaan. Mungkin mereka menganggap rakyat tidak perlu memberi sebarang komen, kritikan dan sebagainya kerana setiap yang dilakukan oleh kerajaan seperti kenaikan harga barang, minyak, ketelusan projek-projek mega dan sebagainya tidak akan menjadi bahan atau isu untuk menyuarakan suara ketidakpuasan hati rakyat secara total. Akan tetapi, kerajaan terlupa satu perkara bahawa rakyat boleh dan mampu menyuarakan kritikan melalui pilihanraya. Rentetan dari isu-isu yang melibatkan sosioekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya menyebabkan rakyat berfikir berkali-kali untuk membuat undian yang benar-benar memberi kepuasan kepada mereka. Mungkin ada yang memilih pemerintah dan mungkin ada yang memilih pembangkang. Siapa tahu ? Itu semua hak peribadi.
Keputusan yang menggemparkan dan memeranjatkan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi seakan-akan memberi satu mesej kepada kerajaan bahawa banyak kepincangan dan masalah dalaman yang perlu diperbaiki oleh kerajaan. Isu yang melibatkan Islam Hadhari, Hindraf, BERSIH dan banyak lagi isu yang dipandang remeh oleh kerajaan seharusnya ditangani dari awal lagi kerana itu semua membabitkan isu dan kepentingan rakyat. Kata seorang penyampai berita radio, "BN Dilanda TSUNAMI!!!". Benar ke? Saya ingatkan pantai saja yang ada tsunami, rupa-rupanya politik pun ada tsunami.

Y.A.B PM semalam membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengakui rakyat marah dan tidak berpuas hati dengan banyak isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang kesan dari kenaikan minyak, Islam Hadhari dan sebagainya. Beliau gagal menangani masalah tersebut dengan bijak dan berkesan. Tidak berapa lama lagi, kita akan mengikuti rentetan dari kekalahan yang teruk ini. Kritikan demi kritikan akan dilontarkan kepada PM selagi beliau masih gagal mencari punca kepada kekalahan tersebut.

Saya teringat kata-kata mantan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak akan bertahan lama dan akan mengalami kekalahan demi kekalahan. Benar juga kata beliau kerana itulah realiti senarionya pada PRU 12 kali ini. Kita juga perlu ingat, mana-mana kerajaan yang mengamalkan dasar tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur dan akhirnya menyesal kerana tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur akan mengalami kekalahan dan kemarahan rakyat yang berganda.

Sudahlah rakyat dihantui isu kenaikan harga barang, minyak, penyelewengan yang berleluasa, secara tiba-tiba isu hangat pembatalan penggunaan dakwat hitam kekal pada PRU 12 menyebabkan rakyat benar-benar marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Jelas menunjukkan kegagalan demi kegagalan yang berlaku. Seharusnya apa yang kurang diperbaiki. Apa yang lemah diperhalusi. Setiap teguran rakyat samaada melalui demonstrasi, kritikan media, laman blog picisan, laman blog bukan picisan, vcd, ceramah dan sebagainya diambil kira oleh kerajaan dalam membangunkan negara. Itu pun jika kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur dalam melaksanakannya.
Walaubagaimanapun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kekalahan ini merupakan titik tolak kepada demokrasi yang serius dan lebih telus di Malaysia. Sama-samalah kita berdoa agar negara kita ini sentiasa dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera walau berada dalam tangan pemerintah mana-mana sekalipun.
~Al-Farabi

Thursday, March 6, 2008

Muzik juga boleh bertukar menjadi SPAM ?

Jangan terkejut jika anda tersalah klik pada laman web yang salah akan menyebabkan anda menerima lebih 100 email spam sehari. Syukurlah sekarang ini terdapat bermacam-macam perisian penapis spam di pasaran dan ada juga yang boleh didapati secara percuma di internet. Walaubagaimanapun kecanggihan atau kepintaran spam semakin menjadi-jadi sehinggakan kebanyakan perisian penapis spam tidak dapat menapis dan menbersihkan pc anda dengan berkesan. Biasanya spam akan datang dalam bentuk teks yang ringkas. Juru spam selalunya akan menggunakan kaedah licik untuk mencerdikkan spam. Selain teks, spam juga boleh menyerupai imej (.jpeg .gif .tif .bmp). Setakat ini penapis spam akan mencari kombinasi perkataan yang terdapat dalam mesej untuk memutuskan samaada ia adalah email spam atau tidak. Untuk melepasi protokol kawalan aras rendah ini, juru spam biasanya akan menggunakan imej yang memaparkan iklan teks. Penapis spam sudah tentu akan mengenal pasti imej tersebut sebagai JPEG fail dan seterusnya tidak dapat menganalisis kandungannya. Oleh kerana itu, pengimbas terbaru yang dibangunkan oleh firma keselamatan ICT besar sedang memberi tumpuan kepada OCR (Optical Character Recognition) dilengkapi dengan penyekat imej. Perisian tersebut akan mengubah kandungan grafik tersebut kepada teks dan menapis spam yang terdapat pada imej tersebut. Malangnya, kebanyakkan pengimbas atau penapis yang percuma belum mengimplementasikan teknologi ini lagi. Seterusnya, juru spam menukar kaedah spam dengan menggunakan MP3 sebagai spam. Kini, pembangun perisian Anti Virus sedang menganalisa penyebaran spam melalui fail audio (MP3, WAV, WMA). Fail MP3 tersebut akan di attach kan dengan email yang biasanya tidak akan mengandungi sebarang teks atau subjek. Kebiasannya fail yang dibawa bersama email tersebut bernama elvis.mp3 atau Britney.mp3 atau mana-mana fail audio yang lain. Untuk keselamatan pc anda, JANGAN SEKALI-KALI BUKA EMAIL TERSEBUT !!! Bahaya tau!!!

PILIHAN TERBAIK UNTUK NOTEBOOK PERTAMA ANDA !!!




Anda tentu sudah lama mengidamkan NOTEBOOK impian anda berada dalam pelukan anda? Kini penggunaan NOTEBOOK atau komputer bimbit menjadi tren terbaru bagi semua peringkat golongan masyarakat bermula dari pelajar sekolah, pelajar ipt, peniaga, ahli perniagaan, professional, penulis, pegawai eksekutif malah kerani am pejabat. Harganya makin murah dan makin mampu untuk dimiliki. Namun begitu seharusnya kita berhati-hati ketika membeli mana-mana barang keperluan ICT terutama sekali NOTEBOOK. Di sini kita akan meneliti beberapa garis panduan atau tips dalam membeli NOTEBOOK terbaik, berpatutan dan yang penting sekali selamat untuk digunakan :




1) Unit Pemprosesan Pusat atau Central Processing Unit (CPU) adalah penting kerana semakin laju CPU maka semakin laju NOTEBOOK. Tapi harus diingat walaupun CPU tersebut laju dan mempunyai kelajuan Clock yang tinggi, tak bermakna ia mampu melakukan tugas dengan beban yang berat. Sebagai contoh : NOTEBOOK dengan CPU Intel Celeron D 2.0 GHz tidak sama dengan NOTEBOOK CPU Intel Pentium Dual Core 1.6 GHz kerana Intel Pentium Dual Core walaupun mempunyai kelajuan Clock yang rendah berbanding Intel Celeron D iaitu 1.6 GHz tapi kelajuannya dua kali ganda lebih laju dari Intel Celeron D. Ia bekerja seakan-akan dua CPU walaupun CPU nya hanya satu. Perlu diingat !!! Akan tetapi CPU yang paling laju dan latest sekarang ialah Intel Core 2 Duo. Jadi, pilihlah NOTEBOOK yang dilengkapi dengan CPU Intel Core 2 Duo.





2) Ingatan Capaian Rawak atau Random Access Memory (RAM) juga memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan tugas-tugas komputer. Ia adalah merupakan ingatan sementara yang akan menjadi pembantu yang baik kepada CPU. Semakin tinggi RAM maka semakin laju dan pantas NOTEBOOK itu beroperasi. Seelok-eloknya pilihlah NOTEBOOK yang mempunyai RAM : 1GB atau 2GB DDR2-RAM.





3) Cakera Keras atau Hard Disk (HDD) merupakan tempat simpanan data-data dan fail-fail pengguna. Jika anda gemar mengambil gambar dan mendengar lagu atau menyimpan banyak data-data penting maka ruang Hard Disk yang besar amat diperlukan. Contohnya 120 GB atau 160 GB. Pastikan ianya adalah Hard Disk SATA dengan kelajuan 5400RPM atau lebih.





4) Kad grafik juga memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan hasil yang menarik dan berkesan terutama bagi pereka grafik yang professional yang sentiasa bergerak. Pastikan ianya Intel Graphics Media Accelerator X3100 atau lebih. Bagi hasil yang maksimun pastikan NOTEBOOK itu didatangkan dengan kad grafik ATI Radeon 128MB atau 256MB dedicated RAM.





5) Pasikan pemacu DVD-RW sebagai pemacu optical yang menjadi pilihan utama. Kebanyakkan model NOTEBOOK yang ada dipasaran dilengkapi dengan pemacu DVD-RW. Ini bermakna ia mampu membaca dan menulis CD-R, CD-RW, DVD, DVD-R, DVD-RW. Berhati-hati ya! Kerana ada di kalangan penjual cuba mengaburi mata pembeli dengan meletakkan DVD + CD-RW. DVD + CD-RW tidak sama dengan DVD-RW.




6) Untuk penggemar CHAT dan Video Conferencing, pastikan NOTEBOOK pilihan anda dilengkapi dengan kamera digital web integrated 2.0 Mega Piksel dengan Mikrofon terbina dalam (built-in).





7) Untuk akses internet, pastikan WiFi Intel Pro / Wayarles 3945 802.11 a / g / n dipasang pada NOTEBOOK anda. Biasanya ia Built-In. Cuma pastikan ianya ada ya. Kini teknologi WiFi draft N menjadi rebutan penggemar wayarles internet. Jadi pastikan ianya boleh diserasikan dengan internet wayarles draft N.





8) Jika NOTEBOOK itu didatangkan dengan FREEDOS atau tiada Sistem Pengoperasian yang dipasang siap, anda pilihlah Microsoft Windows XP Profesional. Tentu anda ingin mendapatkan sistem pengoperasian yang latest. Tapi untuk pengetahuan anda, Microsoft Windows Vista masih dalam peringkat testing market. Ini bermakna Windows Vista masih belum stabil dan banyak kekurangan. Lagipun Windows Vista tidak mampu untuk menyokong banyak perisian-perisian atau perkakasan yang lama. Kebiasaannya sistem pengoperasian keluaran syarikat Microsoft mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk stabil dan benar-benar selamat dan berkesan untuk digunakan. Jadi, kesimpulannya gunalah Microsoft Windows XP Profesional (harganya sekitar RM450 – RM500).





Itulah beberapa tips atau panduan yang saya mampu berikan kepada anda dalam memilih NOTEBOOK yang terbaik untuk anda. Jadilah pengguna yang bijak dan sederhana. :-)







Al-Farabi

Wednesday, March 5, 2008

KESESATAN TRAFIK INTERNET SEMPENA PILIHANRAYA KE-12

Kehangatan pilihanraya ke-12 semakin memuncak kerana tinggal beberapa hari saja lagi tarikh penentuan masa depan Negara yang mana ianya terletak di tangan pengundi yang bijak dan saksama. Seperti yang kita sedia maklum pilihanraya ke-12 ini akan diadakan pada 8 Mac 2008 dan semua parti yang bertarung sudah memulakan kempen yang hangat sejak dari 24 Februari 2008 lagi. Sudah menjadi lumrah akan kelihatan di sejenak ceruk tempat akan berdiri pelbagai jenis poster dan gambar calon dan parti yang bertanding. Bendera yang megah berkibar-kibar di udara dan risalah yang memenuhi disetiap tempat tumpuan awam.

Namun begitu, selaras dengan arus digital yang semakin hangat dan memuncak, boleh dikatakan ada segelintir calon yang bertanding menggunakan internet sebagai medium alternatif. Memang benar, medium ini mudah, cepat dan murah! Maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat amat cepat, mudah dan menjimatkan masa. Calon tidak perlu berjumpa dengan setiap pengundi untuk memberi penerangan dan maklumat tentang apa yang ingin dilakukannya untuk rakyat. Laman web, blog, web tv seperti YouTube, MetaCafe, SMS dan MMS menjadi medium alternatif yang semakin popular.

Oleh kerana penggunaannya yang semakin popular, maka kesan yang ketara yang boleh dirasai sejak hari berkempen (24 Februari 2008) ialah kesesakan trafik internet dan penggunaan rangkaian tanpa wayar (wireless) dan dengan wayar akan meningkat dengan mendadak.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhammad Tahir Muhamad Noor, SKMM ti dak memantau 100 peratus kandungan internet tetapi boleh mengambil tindakan sekiranya menerima laporan mengenai salah laku berkaitan internet. “Jika seseorang itu difitnah atau menerima tohmahan melalui kandungan internet, mereka perlu membuat laporan polis atau kepada SKMM untuk diambil tindakan,” katanya.

Katanya, SKMM akan mengambil tindakan hasil dari laporan yang dibuat dengan menyiasat dengan terperinci berdasarkan bukti sebelum mengambil tindakan susulan. “Terdapat akta berkaitan fitnah memfitnah dalam internet seperti Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233 untuk menangkis pelakuan tidak tepat ketika berada atas talian,” katanya. Namun begitu, menurut Muhamad Tahir, salah laku itu tidak tertakluk kepada satu akta itu sahaja tetapi pelbagai akta lain yang boleh dikenakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.

Internet merupakan dunia tanpa sempadan (borderless world), sudah tentu kawalan terhadapnya tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya. Segala maklumat yang hendak dicari tentang apa benda sekalipun dapat dicari di internet walaupun maklumat yang diperolehi itu tidak sepenuhnya. Walaupun kaedah soft copy (poster, gambar, bendera, risalah) masih diamalkan ketika berkempen, mereka yang berpengatahuan tinggi dalam dunia siber juga tidak terkecuali memanfaatkan kemudahan itu.

Sesetengah ahli politik berpendapat, walaupun penggunaan internet semakin meluas, namun kaedah tradisional masih menjadi pilihan sesetengah calon yang bertanding kerana kaedah tersebut lebih mesra rakyat. Sebagai contoh, calon perlu berjumpa mata bertentang mata dengan para pengundi atau secara umumnya rakyat yang diwakilinya untuk mendapatkan maklumat mengenai permasalahan dan isu yang dibangkitkan di tempat yang beliau bertanding. Kaedah tradisional lebih telus dan berkesan dari segi mesra rakyat.

Ada juga segelintir ahli politik yang gemar menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui medium internet. Ceramah-ceramah yang melibatkan isu-isu yang panas disampaikan melalui web tv yang popular seperti YouTube. Begitu hebat juga bahang siber ini kepada masyarakat di negara kita. Maka tidak salahlah pemimpin terdahulu mengwar-warkan era maklumat sebagai era yang baru selepas era industri di negara kita.

Anda boleh berkunjung ke http://www.pemudaumno.org.my/ (Pemuda UMNO Malaysia), http://www.pas.org.my/ (Parti Islam Malaysia), http://www.harapanmalaysia.com/ (Parti Keadilan Rakyat), http://dapmalaysia.org/newenglish/ (Parti DAP) dan yang terbaru laman web WARKAH UNTUK PM (http://www.warkahuntukpm.com.my); laman yang menjadi platform utama sekarang untuk rakyat menyalurkan komen, pendapat dan aduan kepada Perdana Menteri.

Ada di kalangan parti pembangkang menggunakan medium internet sebagai medan untuk mengutip derma dan sumbangan untuk dana parti dan calon yang bertanding. Ini diakui oleh sesetengah parti pembangkang yang menerima lebih dari RM10,000 pungutan wang melalui kad kredit dan pemindahan online, sementara RM20,000 telah dibank-inkan melalui akaun MayBank2U mereka. Walaubagaimanapun pengumpulan dana secara konvensional lebih mendatangkan hasil yang tinggi dan berkesan. Sesetengah calon mampu mengumpul sehingga RM45,000 – RM50,000 bagi lima ceramah yang diadakan. Sumbangan dana secara online (atas talian) biasanya digunakan untuk membolehkan mana-mana pengundi atau rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk menunjukkan sokongan pada mana-mana calon yang bertanding.

Berbalik kepada kesesakan trafik internet, anda sebagai pengguna internet yang matang boleh menilai sendiri kebenaran fakta ini ketika hari-hari menjelang pilihanraya. Cuba anda perhatikan 3 hari sebelum hari pilihanraya ke-12 ini. Bagi calon-calon yang akan bertanding, anda belum terlambat untuk membangunkan laman blog anda sendiri mulai sekarang. Jika sekiranya laman blog tersebut tidak sempat digunakan untuk berkempen, gunakanlah laman blog tersebut untuk menyuarakan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat selepas menang dalam pilihanraya ke-12 ini. Percayalah, jika anda menggunakan laman blog tersebut selepas pilihanraya sekalipun, rakyat tidak akan berganjak untuk memilih anda untuk pilihanraya yang akan datang. :-)
Al-Farabi
 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com