:: iklaneka ::

Wednesday, March 5, 2008

KESESATAN TRAFIK INTERNET SEMPENA PILIHANRAYA KE-12

Kehangatan pilihanraya ke-12 semakin memuncak kerana tinggal beberapa hari saja lagi tarikh penentuan masa depan Negara yang mana ianya terletak di tangan pengundi yang bijak dan saksama. Seperti yang kita sedia maklum pilihanraya ke-12 ini akan diadakan pada 8 Mac 2008 dan semua parti yang bertarung sudah memulakan kempen yang hangat sejak dari 24 Februari 2008 lagi. Sudah menjadi lumrah akan kelihatan di sejenak ceruk tempat akan berdiri pelbagai jenis poster dan gambar calon dan parti yang bertanding. Bendera yang megah berkibar-kibar di udara dan risalah yang memenuhi disetiap tempat tumpuan awam.

Namun begitu, selaras dengan arus digital yang semakin hangat dan memuncak, boleh dikatakan ada segelintir calon yang bertanding menggunakan internet sebagai medium alternatif. Memang benar, medium ini mudah, cepat dan murah! Maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat amat cepat, mudah dan menjimatkan masa. Calon tidak perlu berjumpa dengan setiap pengundi untuk memberi penerangan dan maklumat tentang apa yang ingin dilakukannya untuk rakyat. Laman web, blog, web tv seperti YouTube, MetaCafe, SMS dan MMS menjadi medium alternatif yang semakin popular.

Oleh kerana penggunaannya yang semakin popular, maka kesan yang ketara yang boleh dirasai sejak hari berkempen (24 Februari 2008) ialah kesesakan trafik internet dan penggunaan rangkaian tanpa wayar (wireless) dan dengan wayar akan meningkat dengan mendadak.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhammad Tahir Muhamad Noor, SKMM ti dak memantau 100 peratus kandungan internet tetapi boleh mengambil tindakan sekiranya menerima laporan mengenai salah laku berkaitan internet. “Jika seseorang itu difitnah atau menerima tohmahan melalui kandungan internet, mereka perlu membuat laporan polis atau kepada SKMM untuk diambil tindakan,” katanya.

Katanya, SKMM akan mengambil tindakan hasil dari laporan yang dibuat dengan menyiasat dengan terperinci berdasarkan bukti sebelum mengambil tindakan susulan. “Terdapat akta berkaitan fitnah memfitnah dalam internet seperti Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233 untuk menangkis pelakuan tidak tepat ketika berada atas talian,” katanya. Namun begitu, menurut Muhamad Tahir, salah laku itu tidak tertakluk kepada satu akta itu sahaja tetapi pelbagai akta lain yang boleh dikenakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.

Internet merupakan dunia tanpa sempadan (borderless world), sudah tentu kawalan terhadapnya tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya. Segala maklumat yang hendak dicari tentang apa benda sekalipun dapat dicari di internet walaupun maklumat yang diperolehi itu tidak sepenuhnya. Walaupun kaedah soft copy (poster, gambar, bendera, risalah) masih diamalkan ketika berkempen, mereka yang berpengatahuan tinggi dalam dunia siber juga tidak terkecuali memanfaatkan kemudahan itu.

Sesetengah ahli politik berpendapat, walaupun penggunaan internet semakin meluas, namun kaedah tradisional masih menjadi pilihan sesetengah calon yang bertanding kerana kaedah tersebut lebih mesra rakyat. Sebagai contoh, calon perlu berjumpa mata bertentang mata dengan para pengundi atau secara umumnya rakyat yang diwakilinya untuk mendapatkan maklumat mengenai permasalahan dan isu yang dibangkitkan di tempat yang beliau bertanding. Kaedah tradisional lebih telus dan berkesan dari segi mesra rakyat.

Ada juga segelintir ahli politik yang gemar menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui medium internet. Ceramah-ceramah yang melibatkan isu-isu yang panas disampaikan melalui web tv yang popular seperti YouTube. Begitu hebat juga bahang siber ini kepada masyarakat di negara kita. Maka tidak salahlah pemimpin terdahulu mengwar-warkan era maklumat sebagai era yang baru selepas era industri di negara kita.

Anda boleh berkunjung ke http://www.pemudaumno.org.my/ (Pemuda UMNO Malaysia), http://www.pas.org.my/ (Parti Islam Malaysia), http://www.harapanmalaysia.com/ (Parti Keadilan Rakyat), http://dapmalaysia.org/newenglish/ (Parti DAP) dan yang terbaru laman web WARKAH UNTUK PM (http://www.warkahuntukpm.com.my); laman yang menjadi platform utama sekarang untuk rakyat menyalurkan komen, pendapat dan aduan kepada Perdana Menteri.

Ada di kalangan parti pembangkang menggunakan medium internet sebagai medan untuk mengutip derma dan sumbangan untuk dana parti dan calon yang bertanding. Ini diakui oleh sesetengah parti pembangkang yang menerima lebih dari RM10,000 pungutan wang melalui kad kredit dan pemindahan online, sementara RM20,000 telah dibank-inkan melalui akaun MayBank2U mereka. Walaubagaimanapun pengumpulan dana secara konvensional lebih mendatangkan hasil yang tinggi dan berkesan. Sesetengah calon mampu mengumpul sehingga RM45,000 – RM50,000 bagi lima ceramah yang diadakan. Sumbangan dana secara online (atas talian) biasanya digunakan untuk membolehkan mana-mana pengundi atau rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk menunjukkan sokongan pada mana-mana calon yang bertanding.

Berbalik kepada kesesakan trafik internet, anda sebagai pengguna internet yang matang boleh menilai sendiri kebenaran fakta ini ketika hari-hari menjelang pilihanraya. Cuba anda perhatikan 3 hari sebelum hari pilihanraya ke-12 ini. Bagi calon-calon yang akan bertanding, anda belum terlambat untuk membangunkan laman blog anda sendiri mulai sekarang. Jika sekiranya laman blog tersebut tidak sempat digunakan untuk berkempen, gunakanlah laman blog tersebut untuk menyuarakan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat selepas menang dalam pilihanraya ke-12 ini. Percayalah, jika anda menggunakan laman blog tersebut selepas pilihanraya sekalipun, rakyat tidak akan berganjak untuk memilih anda untuk pilihanraya yang akan datang. :-)
Al-Farabi
 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com