:: iklaneka ::

Saturday, April 5, 2008

PEMBLOG atau BLOG yang bermasalah ?

Bahasa dalam BLOG makin menjadi masalah kepada ramai penggiat bahasa dan pencinta bahasa. Mungkin kerana kecelaruan yang terkandung dalam setiap blog yang sememangnya lebih bersifat "funky" dan terlampau bebas tulisannya. Namun begitu, bagi saya tulisan dalam blog ini sememangnya bersifat demikian kerana blog hanya boleh didapati di dunia tanpa sempadan (borderless-world) dan seharusnya pertikaian mengenai corak dan jenis bahasa yang digunakan tidak seharusnya dijadikan fokus utama. Apa yang perlu difokuskan ialah isu yang dimainkan oleh setiap pemblog. Isu-isu yang diutarakan mungkin dan kadang-kadang panas, sensitif, mengampu, memberi maklumat, info terkini, rungutan, bantahan dan pelbagai genre isu.


Baru-baru ini saya ada membaca beberapa artikel di dalam majalah arus perdana yang membicarakan masalah bahasa blog. Rata-rata tumpuan artikel lebih kepada "kekacauan bahasa blog" dan masalah yang sering timbul dalam bahasa blog. Banyak artikel tersebut membidas pemblog-pemblog yang menggunakan bahasa yang kacau dalam blog-blog mereka. Mereka seharusnya tahu dan sedar bahawa maklumat-maklumat yang ada di internet terlalu mudah, banyak, cepat dan terkini. Jadi tidak sepatutnya bahasa blog menjadi bahan bidasan mereka.



Anda boleh lihat pelbagai variasi blog yang bersifat individu. Untuk pengetahuan kita semua, blog pada asalnya dicipta untuk mencatat diari perjalanan hidup seseorang individu. Itulah objektif utama blog dicipta. Namun kini, blog diperluaskan kepenggunaannya kepada pelbagai jenis kegunaan. Namun tidak dinafikan selari dengan peristiwa semasa dan isu semasa yang dimainkan oleh ramai pemblog menyebabkan penggunaan bahasa di dalam blog menjadi semakin pelik, runcing, kacau dan tidak bersifat baku. Sebagai contoh isu melibatkan kenaikan harga barangan, ada sesetengah pemblog yang menggunakan kesempatan isu tersebut untuk menguraikan dan melebarkan lagi liputan isu dengan mengaitkannya dengan isu-isu yang lain. Hasilnya, setiap perkataan yang dipaparkan di blog mereka ada yang betul dan ada yang tak betul. Ada yang baku dan ada yang kedaerahan. Ada yang sopan dan ada yang biadap. Ada yang sederhana dan ada yang melampau.


Kedinamikan blog telah melahirkan ramai komuniti sastera, teknokrat, jurnalis, pengembara, jutawan, ahli perniagaan, broker saham dan usahawan IKS. Setiap artikel yang dimasukkan dan ditulis di dalam blog tidak perlu melalui proses dan prosedur yang teliti dan ketat berbanding artikel yang dihantar dan disiarkan di dalam media cetak. Sesiapa sahaja boleh berkarya dan menulis artikel dengan bebas tanpa sebarang sekatan dan tapisan. Senario ini menyebabkan industri penulisan tradisional tercabar dan perlu bersaing dengan penulisan blog kerana penulisan blog lebih mudah, cepat, percuma, tiada proses dan kerenah birokrasi yang banyak, interaktif dan boleh dikongsi dengan pelbagai peringkat pembaca tanpa had.


Minggu lepas, mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengumumkan bahawa beliau akan membina blog sendiri dan menggunakan blog sebagai wadah untuk mendengar masalah dan aduan, membela dan menjaga kebajikan rakyat Selangor dengan baik dan berkesan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau kerana telah menceburkan diri dalam lapangan blog. Memang benar, jika kita teliti perkembangan lapangan blog di negara jiran seperti Indonesia, Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo) Indonesia, Muhammad Nuh telah merasmikan Hari Blog Nasional yang disambut pada 27 Oktober 2007. Hari Blog Nasional ini telah diperkenalkan oleh kerajaan Indonesia sebagai tanda menghargai dan pengiktirafan kerajaan Indonesia kepada penulis blog di republik tersebut. Suara penulis blog didengar oleh kerajaan. Pemblog menjadikan blog sebagai wahana mengekspresikan diri dengan pandangan dan maklum balas tetapi mereka perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka (Teks temubual oleh wartawan Dewan Budaya edisi Mac 2008 dengan seorang penulis dan pemblog terkenal Zamri Mohamad). Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, boleh disimpulkan bahawa blog merupakan wadah dan wahana yang baik dan berkesan untuk menyampaikan mesej dan info dengan tepat, benar, mudah, cepat, percuma dan berkesan. Jadi tidak sepatutnya kita menuding jari menyalahkan pemblog-pemblog yang ada sekarang ini menggunakan bahasa kacau atau bahasa rojak dalam menyampaikan mesej mereka. Itu semua terpulanglah kepada mereka asalkan tidak timbul isu dan masalah fitnah, menghasut dan isu-isu negatif yang lain.


Sepatutnya kerajaan perlulah menubuhkan satu badan khas yang bebas untuk memantau dan mengawal blog-blog yang ada agar tidak terlalu kacau dan rojak. Itu adalah pandangan saya tentang isu ini dan diharapkan ianya akan menjadi suatu garis panduan untuk kebaikan kita bersama. Terpulanglah pada individu masing-masing untuk menilai dan mentafsirkannya mengikut acuan sendiri asalkan tidak melanggar batas-batas agama, adab dan budaya.

~ Al-Farabi

 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com