:: iklaneka ::

Saturday, October 24, 2009

Intipati Belanjawan 2010 Untuk Dunia ICT

Sama seperti tahun-tahun lalu, Belanjawan 2010 yang dibentangkan petang tadi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh beberapa aspek dunia ICT, dimana sedikit peruntukan diberikan kepada pembangunan ICT negara.

Berikut merupakan serba sedikit intipati Belanjawan 2010 yang menyentuh aspek ICT negara:
  • Pekerja awam akan mendapat pinjaman sebanyak RM5,000 setiap tahun untuk membeli PC peribadi.
  • Pakej netbook khas akan diperkenalkan kepada para pelajar IPT yang mana membolehkan mereka memperolehi netbook dengan broadband pada harga RM50 sebulan. Pakej ini akan mula diperkenalkan mulai 1 Januari kelak.
  • Pusat Inovasi Negara akan dibangunkan untuk mengalakkan pembangunan inovasi dalam negara.
  • RM11.3 billion diperuntukan untuk pembangunan infrastruktur jalur lebar negara. Ianya dijangka, pada tahun 2010, pakej selaju 10Mpbs akan diperkenalkan pada bandar-bandar utama, diikuti dengan kawasan lain secara berperingkat.
  • Potongan cukai akan diberikan keatas langganan jalur lebar yang mana membawakan potongan sehingga RM500. Potongan ini diberikan untuk tiga tahun, iaitu mulai 2010 sehingga tahun 2012.
  • Sebanyak RM200 juta diperuntukan untuk pembangunan industri kreatif untuk mengalakkan pembanggunan industri seni dan juga kandungan kreatif.
(Source : Amanz.my)

Mari Kita Sama-Sama Analisa Pembentangan Belanjawan 2010

Ini kali pertama saya buat analisa untuk pembentangan belanjawan negara. Ada dalam 28 item belanjawan yang telah saya rumuskan dari pembentangan belanjawan negara bagi tahun 2010. Harap-harap anda semua boleh mendapat manfaat darinya.




Semalam, Datuk Seri Najib Razak pertama kali membentangkan belanjawan untuk tahun 2010 selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6  di Dewan Rakyat. Belanjawan 2010 kali ini berjumlah RM191.5 billion yang mana RM138.28 billion (72.2%) untuk perbelanjaan mengurus manakala  RM53.22  billion  (27.8%) untuk tujuan perbelanjaan pembangunan. Dengan pembentangan belanjawan 2010 ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang kepada 2-3 peratus pada 2010, perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratusan, perkhidmatan 3.6 peratus,  penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus dan pendapatan per kapita meningkat daripada 2.5 peratus kepada RM24,661.


Belanjawan 1: Jabatan kerajaan wajib menyediakan pusat penjagaan harian anak-anak
Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan peruntukan RM200,000 kepada setiap kementerian dan jabatan.

Belanjawan 2 : Bajet 2010: Bayaran khas RM500 untuk penjawat awam gred 41 hingga 54
Penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan akan menerima bayaran khas RM500 pada bulan Disember ini.

Belanjawan 3 : Bajet 2010: RM3.7 bilion untuk pertingkat pasukan keselamatan
Sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara bagi mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Antara langkah yang bakal diambil,
  • Menyediakan balai polis bergerak di 50 “hot spots” yang dikenal pasti di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan kehadiran anggota polis agar orang awam merasa yakin dan selamat.
  • Mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggotaIkatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam untuk melakukan rondaan bersama polis serta meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat
  • Keselamatan sempadan negara juga turut diberi perhatian serius dengan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan.
  • Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut diberikan RM622 juta bagi memastikan kawasan perairan negara bebas daripada penyeludupan dan pencerobohan termasuk ancaman lanun, katanya.
Belanjawan 4 : Penjawat awam boleh pinjam 3 tahun sekali beli komputer
Penjawat awam kini boleh membuat pinjaman untuk membeli komputer peribadi (PC) tiga tahun sekali berbanding lima tahun yang dilaksanakan sekarang

Belanjawan 5 : Akta “Whistle Blower” akan diperkenal
Akta “Whistle Blower” akan diperkenalkan tahun depan manakala 14 Mahkamah Sesysen Khas Rasuah dan empat Mahkmah Tinggi Khas Rayuan akan ditambah untuk memerangi rasuah.

Belanjawan 6 : Tunjuk MyKad beli minyak
Pengguna kenderaan di negara ini wajib menggunakan MyKad untuk membeli bahanapi petrol atau diesel untuk memastikan subsidi minyak yang diperuntukan sampai ke golongan sasar

Belanjawan7 : Biasiswa nasional untuk pelajar terbaik
Seramai 30 pelajar terbaik berasaskan merit akan diberikan biasiswa Nasional untuk melanjutkan pelajaran ke univesiti tersohor di dunia manakala pinjaman PTPTN bakal ditukar kepada biasiswa bagi pelajar ijazah sarjana muda yang mendapat kelas pertama mulai tahun 2010 selain kad diskaun tambang 50 peratus 1Malaysia untuk pelajar, pakej netbook termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 ringgit sebulan untuk 2 tahun

Belanjawan 8 : Subsidi RM2 bilion untuk petani dan nelayan
RM2 bilion akan disediakan untuk tujuan subsidi, insentif dan bantuan untuk petani dan nelayan, subsidi harga padi lebih RM400 juta, subsidi baja padi hampir RM300 juta, subsidi beras hampir RM220 juta dan peruntukan RM170 juta sebagai elaun sara hidup dan insentif untuk nelayan.

Belanjawan 9 : Pelepasan cukai RM500 langganan jalur lebar
Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 sehingga 2012.

Belanjawan 10 : Sistem pengurusan dan penyampaian agensi kerajaan dipertingkat
Bagi mencapai tujuan ini, Institut Tadbiran Awam negara (INTAN,) Bukit Kiara akan distruktur semula sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia,” katanya. INTAN Bukit Kiara akan dinaik taraf sebagai “School of Government” dengan kuasa autonomi, ditadbir secara profesional dibantu tenaga pengajar berpengalaman dan menjalin kerjasama dengan institusi terkemuka dunia.”

Kemudiannya kerajaan juga dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), terutamanya untuk menilai impak sosial terhadap rakyat supaya rakyat tidak dibebankan dengan pengenalan cukai ini, jika didapati GST perlu dilaksanakan bagi mencapai kestabilan kewangan kerajaan. Sekiranya GST dilaksanakan, ia akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang sedia ada serta pengecualian tertentu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah. Kadar GST yang akan dikenakan dijangka lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang sedia ada.

Belanjawan 11 : Suruhanjaya baru bagi pengangkutan awam darat
Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dapat menguatkuasakan piawaian perkhidmatan serta menyedia rancangan jangka panjang pengangkutan awam bandar.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) juga akan ditambah lapan unit “electric multiple units” (EMU) yang baru dan membaik pulih sembilan EMU dan langkah itu akan dapat meningkatkan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan komuter sedia ada. Syarikat milik negara, Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) juga akan menambah 35 unit Aliran Transit Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya-Taman Melati. Empat unit tren telah diterima dan sedang beroperasi manakala 22 unit akan diterima pada tahun 2010 dan bakinya pada 2011. Langkah ini akan dapat menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Kerajaan bercadang membina laluan berbumbung menghubungkan stesen-stesen LRT ke pusat aktiviti berhampiran iaitu Plaza Rakyat, Pasar Seni, Bandaraya, Jalan Sultan Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra dan Jalan Hang Tuah. Kerajaan juga akan memperluaskan laluan khas dan menambah bilangan bas untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatannya di Kuala Lumpur dan di samping itu, empat hab baru akan dibina di Pulau Pinang untuk meningkatkan perkhidmatan bas dan penambahan rangkaian laluan.

Selain itu, cadangan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di  Gombak diharap dapat dapat mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya. Kerajaan juga akan melaksanakan laluan khas untuk bas di lebuh raya yang kurang digunakan dan mengubah suai laluan Touch n” Go di plaza-plaza tol.

Belanjawan 12 : Pertukaran nama Kementerian Wilayah Persekutuan
Kementerian Wilayah Persekutuan ditukar nama kepada Kementerian Wilayah Persektuuan dan Kesejahteraan Bandar dan ditugaskan menyediakan plan tindakan untuk menangani masalah kemiskinan di bandar.

Belanjawan 13 : Klinik kesihatan komuniti 1Malaysia diperkenal
Klinik kesihatan komuniti 1Malaysia akan diperkenalkan di bandar tahun depan di kawasan perumahan dan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari untuk rawatan sakit biasa seperti demam, batuk dan selsema. Sebagai permulaan, sebanyak 50 buah klink akan dibuka dengan peruntukan RM10 juta.

Belanjawan 14 : Kerajaan terbit sukuk 1Malaysia berjumlah RM3 bilion
Sukuk 1Malaysia akan diterbitkan berjumlah RM3 bilion untuk memberi peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan mereka. Sukuk itu akan ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas, dengan pelaburan minima RM1,000 dan maksima RM50,000. Tempoh matang sukuk ini ialah tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus setahun yang akan dibayar setiap tiga bulan.

Belanjawan 15 : Diskaun Tambang 50 Peratus KTMB Kepada Pelajar
Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) jarak jauh kan diberikan kepada pelajar, terutama bagi mereka dari kalangan keluarga berpendapatan rendah. Diskaun itu adalah kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma itu boleh diperoleh dari KTMB. Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010.

Belanjawan 16 : Pelepasan Diri Bagi Cukai Pendapatan Dinaikkan Kepada RM9,000
Peningkatan dalam jumlah pelepasan diri bagi pembayar cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, dan penstrukturan semula skim subsidi minyak.

Merujuk kepada pelepasan cukai, bermakna setiap pembayar cukai individu akan menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000, dan pelepasan ini juga berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2010. Kerajaan juga mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus mulai tahun depan. Manakala kadar cukai maksimum bagi koperasi diturunkan kepada 26 peratus, dan kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

Belanjawan 17 :
Cadangan cukai ke atas pekerja rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia

Mereka bakal dikenakan cukai hanya pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksimum 26 peratus untuk seluruh negara. Golongan yang layak untuk menikmati cukai ini adalah bekerja  seperti dalam teknologi hijau, bioteknologi, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultansi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan. Mereka juga mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi. Galakan ini ditawar kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan.

Belanjawan 18 : Pakej NETBOOK
Sebagai ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan pula,  kerajaan juga menawarkan pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar (broadband) percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pakej itu jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah.  Sebagai permulaan, pakej itu akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010

Belanjawan 19 :
Tukar Status Pinjaman ke Biasiswa
Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditukarkan kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf, bermula tahun depan.

Belanjawan 20 :
Membangunkan modal insan
Kerajaan memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, RM1.6 bilion disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh.

Belanjawan 21 : Pra Sekolah
RM1.1 bilion disediakan bagi mengubah suai dan menaik taraf, termasuk sekolah di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak. Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta daripada 67 peratus sekarang kepada 87 peratus menjelang 2012. Kerajaan juga akan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada arus perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan dan bagi tujuan itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM48 juta tahun depan. Semua kemudahan dan kurikulum prasekolah di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan agensi lain akan diubah suai dan inisiatif itu juga akan dinikmati oleh prasekolah yang dikendalikan oleh swasta.

Belanjawan 22 :
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah diberi pengiktirafan SBT, yang akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah pada tahun depan, dengan peruntukan tambahan RM20 juta.

Belanjawan 23 : Bai’ah Baru
New Deal atau Bai’ah Baru akan diperkenalkan kerajaan bagi tujuan menghargai jasa dan prestasi para pengetua serta guru besar bagi memastikan sekolah ditadbir secara profesional serta menunjukkan prestasi cemerlang.Sekiranya sasaran itu dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan. Namun bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama dua tahun berturut-turut, tidaklah terlepas daripada pemerhatian kerajaan.

Belanjawan 24 : Institut Kemahiran/kolej/politeknik
Kerajaan akan menyediakan RM1.3 bilion bagi membiayai pengurusan dan menaik taraf politeknik serta kolej komuniti serta menyediakan peruntukan kepada tabung pinjaman pelajaran untuk 32,000 pelajarnya, di samping memperuntukkan RM504 juta bagi membina dan menaik taraf serta menyelenggara peralatan di Institusi Latihan Perindustrian dan Latihan Teknologi Tinggi.
Kerajaan juga akan menyediakan RM483 juta kepada Institut Kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta Institusi Kemahiran Belia Negara, juga Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk tujuan pengurusan latihan termasuk menaik taraf institusi, serta menyediakan RM110 juta kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri, terutama dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabot.

Belanjawan 25 : Skim Anuiti.
Pelaksanaan satu skim anuiti dalam perancangan kerajaan . Tabungan di Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mungkin tidak mencukupi memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat. Justeru itu skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan.

Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak RM6,000 yang sedia ada untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada RM7,000. Kenaikan RM1,000 ini adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Januari 2010 untuk tujuan persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans.

Belanjawan 26 : Caruman KWSP Dinaikkan Semula Kepada 11 Peratus Pada 1 Jan, 2011
Caruman pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan semula kepada kadar 11 peratus mulai 1 Jan, 2011 manakala bagi potongan secara sukarela pula berkuat kuasa serta merta, memandangkan keadaan ekonomi dijangka pulih

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman KWSP mereka secara sukarela daripada 11 peratus kepada 8 peratus selama dua tahun mulai 1 Jan, 2009 sebagai sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diperkenalkan pada November tahun lepas.

Belanjawan 27 : Industri pelancongan kesihatan.
Pengecualian cukai kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan akan mengembangkan lagi industri pelancongan kesihatan dan seterusnya memperkasakan kualiti sistem kesihatan negara.

Belanjawan 28 : RM6 Bilion Bagi Sektor Pertanian
  • Menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang padi melibatkan 180,000 petani dengan peruntukan sejumlah RM137 juta.
  • Melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu, yang akan meningkatkan kapasiti bekalan air Skim Pengairan Padi di Besut membabitkan sejumlah RM70 juta.
  • Memodenkan industri akuakultur dan pelaksanaan skim latihan keusahawanan bagi pengusaha dan penternak akuakultur dengan tumpuan kepada pembenihan perikanan dan penternakan ikan hiasan. Skim itu akan memberi faedah kepada 1,150 peserta melibatkan peruntukan sejumlah RM82 juta.
  • Membangunkan industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit dengan peruntukan sejumlah RM149 juta.
  • Membangunkan prasarana keperluan asas ladang ternakan dan mewujudkan rantaian bekalan dalam industri pengeluaran daging lembu dan kambing dengan peruntukan sejumlah RM58 juta.
  • Melaksanakan program inkubator untuk melatih dan membimbing belia serta graduan untuk menjadi usahawan tani berjaya.
Kerajaan juga akan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan termasuk subsidi harga padi berjumlah lebih RM400 juta dan subsidi baja padi hampir RM300 juta.

Insentif untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dan subsidi beras pula membabitkan hampir RM220 juta manakala RM170 juta diperuntukkan untuk menyediakan elaun sara hidup nelayan.  Konsortium Felda, Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) and Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil) dengan modal berbayar sebanyak RM300 juta akan diwujudkan menjelang akhir 2009 untuk melaksanakan pelbagai projek hiliran dan huluan berimpak tinggi.

Setiap agensi akan menyumbang RM100 juta dan konsortium itu akan terlibat dalam perkongsian teknologi, pengurusan perladangan, kerjasama perniagaan termasuk aktiviti pembekalan dan pemprosesan keluaran pertanian. MASKargo akan meningkatkan kapasiti kemudahan kargo udara bagi pengedaran hasil pertanian yang mudah rosak untuk dieksport dan langkah itu akan dapat membantu pengusaha untuk mengeksport lebih banyak hasil pertanian. Perdana Menteri berkata pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara.

Komentar Saya :
Terkejut juga bila melihat begitu banyak insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat dalam menangani pelbagai permasalahan rakyat di negara kita. Tetapi kita harus sedar dan menggunakan segala kemudahan ini dengan sebaik mungkin. Diharapkan tidak timbul sebarang permasalahan integriti dan rasuah dalam bermacam-macam insentif ini.  Jangan pula ada yang memandang semua ini sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda tanpa menghiraukan kepentingan sosial dan kepentingan masyarakat bersama.
 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com