:: iklaneka ::

Sunday, March 9, 2008

SALAM UKHUWAH KEPADA SEMUA!!!

Salam.

Salam ukhuwah untuk semua !!! Jika sekiranya anda ingin bertanyakan tentang info ICT, masalah PC, trouble shoot, webhosting, rekabentuk web, graphic design dan hal-hal berkaitan ICT, bolehlah hubungi saya di
myhottips@yahoo.com

Atau hantar komen pada blog ini. Saya akan bersedia membantu anda 24 jam / 7 hari seminggu dalam memberikan nasihat dan tips-tips penggunaan ICT yang betul dan efektif. Berkunjunglah ke blog saya selalu untuk mendapatkan info-info terkini tentang ICT.

Sekian, wassalam.

"BE A BETTER TEKNOKRAT FOR A BETTER FUTURE OF UMMAH"

~ Al-Farabi
myhottips@yahoo.com

KINI WAKTU BERTERUS TERANG

Ulasan yang bernas dari seorang penganalisis politik yang berpengalaman dan serius. Saya tertarik dengan tulisan beliau yang relevan dan telus. Ada kebenarannya juga tulisan beliau itu. Namun kita sama-samalah mengikuti dan mengkaji analisis dan tulisan beliau ini. Kemudian kita sama-sama membuat penilaian yang matang dan sewajarnya berkenaan dengan isu yang dibincangkan. Jangan lupa untuk memberi komen.

Oleh : A. Kadir Jasin

SESUDAH pengundi Malaysia membuat kata putus dengan memberi kejutan voltan tinggi kepada Barisan Nasional adalah tidak tetap dan tidak wajar lagi bagi sesiapa pun berselindung-selindung dan teragak-agak. Realitinya BN kehilangan banyak kerusi Parlimen, terlepas kawalan ke atas Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta ketewasan beberapa tokoh berprofil tingginya, termasuk tiga orang menteri.

BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah. Kerana dinasihati oleh anggota “kabinet dapur” yang jahil tetapi bongkah serta rakus – mereka yang digelar 3K, JKKK dan Budak Tingkat Empat - dan menyisihkan jentera serta veteran parti, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN sering tersilap membuat perkiraan. Kepemimpinan kerajaan dan parti dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan yang kemudiannya dihebahkan secara meluas oleh media massa arus perdana yang pro-pemerintah. Misalnya:

1. Perdana Menteri, pada hari penamaan calon, menyifatkan pakatan pilihan raya pembangkang sebagai “syok-syok sahaja”;

2. Perdana Menteri yang mencabar penunjuk perasaan supaya menggunakan peti undi sebagai tempat mutakhir menunjuk perasaan;

3. Menteri Kerja Raya yang mengatakan dia sedia berhenti jika rakyat jelata tidak mahukan dia lagi. Dia terus bertanding dan rakyat menyahut seruannya dengan mengundi pembangkang. Maka kecundanglah dia pada hari jadinya yang ke-72;

4. Menteri Penerangan (yang kalah di Sungai Petani) yang menyifatkan para blogger sebagai “syok sendiri.”;

5. Dia juga “bersumpah” akan memastikan lawannya hilang wang pertaruhan. Lawannya tidak hilang wang pertaruhan sebaliknya dia yang hilang kerusi; dan

6. Timbalan Ketua Pemuda (yang menang di Rembau) yang berkata tugasnya adalah memporak-perandakan pembangkang. Malangnya yang berlaku adalah di sebaliknya. Pembangkang memporak-perandakan BN. Sekali pun benar bahawa keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Perdana Menteri menjadi pertikaian, faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi begitu tidak popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekelilingnya.

Dalam tempoh kerjaya kewartawanan saya selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah melihat sekumpulan orang di sekeliling seorang Perdana Menteri yang begitu dicurigai dan dibenci tetapi pada masa yang sama sangat ditakuti. Hasil mengejutkan keputusan pilihan raya ini tidak dapat tidak akan mencetuskan tanda tanya mengenai kewibawaan, integriti serta kesahihan kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Presiden Umno. Apatah lagi banyak calon yang dikaitkan terus dengan Perdana Menteri dan “kabinet dapurnya” seperti Azim Zabidi (Bukit Gantang), Osman Desa (Sik), Zainuddin Maidin (Sungai Petani), Annuar Musa (Ketereh) dan Awang Adek Hussin (Bachok) kecundang. Di pihak pembangkang pula, tindak-tanduk mereka akan diperhatikan dan dinilai bagi memastikan sama ada mereka juga akan menjadi sombong, angkuh dan pendendam kerana kuasa. Atau mereka menjadi pemegang amanah yang berhemah, merendah diri, sederhana dan bertimbang rasa. Dan apakah dasar-dasar dan program-program mereka lebih baik daripada BN.
~ Al-Farabi

KEMENANGAN DEMOKRASI YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Kemenangan demokrasi yang pertama di Malaysia ! Itulah ungkapan paling sesuai untuk menyimpulkan secara keseluruhan keputusan pilihanraya ke-12 / 2008. Rakyat kali ini benar-benar menunjukkan The Power of The Hands of People (kata seorang pujangga) yang menyebabkan kekalahan teruk BN di tangan pakatan pembangkang. Namun realitinya BN masih dalam keadaan tenang mengumumkan pembentukan kerajaan baru dengan kemenangan majoriti mudah. Seharusnya pemerintah akur dan mengakui kuasa yang terdapat pada rakyat lebih kuat dan powerfull berbanding yang ada pada kerajaan kerana kerajaan adalah suara rakyat.


Semestinya setiap undian yang buat adalah menggambarkan suara hati rakyat. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh seorang professor (penganalisis politik semasa) di konti sebuah radio arus perdana yang menyatakan kuasa rakyat terletak pada banyak perkara antaranya melalui senjata, kata-kata, demonstrasi, penulisan artikel, komentar dan yang paling lemah sekali ialah undian atau pilihanraya. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tapi di Malaysia kebebasan bersuara tidak berapa di ambil berat dan penuh perhatian oleh kerajaan. Mungkin mereka menganggap rakyat tidak perlu memberi sebarang komen, kritikan dan sebagainya kerana setiap yang dilakukan oleh kerajaan seperti kenaikan harga barang, minyak, ketelusan projek-projek mega dan sebagainya tidak akan menjadi bahan atau isu untuk menyuarakan suara ketidakpuasan hati rakyat secara total. Akan tetapi, kerajaan terlupa satu perkara bahawa rakyat boleh dan mampu menyuarakan kritikan melalui pilihanraya. Rentetan dari isu-isu yang melibatkan sosioekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya menyebabkan rakyat berfikir berkali-kali untuk membuat undian yang benar-benar memberi kepuasan kepada mereka. Mungkin ada yang memilih pemerintah dan mungkin ada yang memilih pembangkang. Siapa tahu ? Itu semua hak peribadi.
Keputusan yang menggemparkan dan memeranjatkan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi seakan-akan memberi satu mesej kepada kerajaan bahawa banyak kepincangan dan masalah dalaman yang perlu diperbaiki oleh kerajaan. Isu yang melibatkan Islam Hadhari, Hindraf, BERSIH dan banyak lagi isu yang dipandang remeh oleh kerajaan seharusnya ditangani dari awal lagi kerana itu semua membabitkan isu dan kepentingan rakyat. Kata seorang penyampai berita radio, "BN Dilanda TSUNAMI!!!". Benar ke? Saya ingatkan pantai saja yang ada tsunami, rupa-rupanya politik pun ada tsunami.

Y.A.B PM semalam membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengakui rakyat marah dan tidak berpuas hati dengan banyak isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang kesan dari kenaikan minyak, Islam Hadhari dan sebagainya. Beliau gagal menangani masalah tersebut dengan bijak dan berkesan. Tidak berapa lama lagi, kita akan mengikuti rentetan dari kekalahan yang teruk ini. Kritikan demi kritikan akan dilontarkan kepada PM selagi beliau masih gagal mencari punca kepada kekalahan tersebut.

Saya teringat kata-kata mantan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak akan bertahan lama dan akan mengalami kekalahan demi kekalahan. Benar juga kata beliau kerana itulah realiti senarionya pada PRU 12 kali ini. Kita juga perlu ingat, mana-mana kerajaan yang mengamalkan dasar tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur dan akhirnya menyesal kerana tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur akan mengalami kekalahan dan kemarahan rakyat yang berganda.

Sudahlah rakyat dihantui isu kenaikan harga barang, minyak, penyelewengan yang berleluasa, secara tiba-tiba isu hangat pembatalan penggunaan dakwat hitam kekal pada PRU 12 menyebabkan rakyat benar-benar marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Jelas menunjukkan kegagalan demi kegagalan yang berlaku. Seharusnya apa yang kurang diperbaiki. Apa yang lemah diperhalusi. Setiap teguran rakyat samaada melalui demonstrasi, kritikan media, laman blog picisan, laman blog bukan picisan, vcd, ceramah dan sebagainya diambil kira oleh kerajaan dalam membangunkan negara. Itu pun jika kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur dalam melaksanakannya.
Walaubagaimanapun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kekalahan ini merupakan titik tolak kepada demokrasi yang serius dan lebih telus di Malaysia. Sama-samalah kita berdoa agar negara kita ini sentiasa dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera walau berada dalam tangan pemerintah mana-mana sekalipun.
~Al-Farabi
 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com