Semestinya setiap undian yang buat adalah menggambarkan suara hati rakyat. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh seorang professor (penganalisis politik semasa) di konti sebuah radio arus perdana yang menyatakan kuasa rakyat terletak pada banyak perkara antaranya melalui senjata, kata-kata, demonstrasi, penulisan artikel, komentar dan yang paling lemah sekali ialah undian atau pilihanraya. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tapi di Malaysia kebebasan bersuara tidak berapa di ambil berat dan penuh perhatian oleh kerajaan. Mungkin mereka menganggap rakyat tidak perlu memberi sebarang komen, kritikan dan sebagainya kerana setiap yang dilakukan oleh kerajaan seperti kenaikan harga barang, minyak, ketelusan projek-projek mega dan sebagainya tidak akan menjadi bahan atau isu untuk menyuarakan suara ketidakpuasan hati rakyat secara total. Akan tetapi, kerajaan terlupa satu perkara bahawa rakyat boleh dan mampu menyuarakan kritikan melalui pilihanraya. Rentetan dari isu-isu yang melibatkan sosioekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya menyebabkan rakyat berfikir berkali-kali untuk membuat undian yang benar-benar memberi kepuasan kepada mereka. Mungkin ada yang memilih pemerintah dan mungkin ada yang memilih pembangkang. Siapa tahu ? Itu semua hak peribadi.
Keputusan yang menggemparkan dan memeranjatkan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi seakan-akan memberi satu mesej kepada kerajaan bahawa banyak kepincangan dan masalah dalaman yang perlu diperbaiki oleh kerajaan. Isu yang melibatkan Islam Hadhari, Hindraf, BERSIH dan banyak lagi isu yang dipandang remeh oleh kerajaan seharusnya ditangani dari awal lagi kerana itu semua membabitkan isu dan kepentingan rakyat. Kata seorang penyampai berita radio, "BN Dilanda TSUNAMI!!!". Benar ke? Saya ingatkan pantai saja yang ada tsunami, rupa-rupanya politik pun ada tsunami.
Y.A.B PM semalam membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengakui rakyat marah dan tidak berpuas hati dengan banyak isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang kesan dari kenaikan minyak, Islam Hadhari dan sebagainya. Beliau gagal menangani masalah tersebut dengan bijak dan berkesan. Tidak berapa lama lagi, kita akan mengikuti rentetan dari kekalahan yang teruk ini. Kritikan demi kritikan akan dilontarkan kepada PM selagi beliau masih gagal mencari punca kepada kekalahan tersebut.
Saya teringat kata-kata mantan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak akan bertahan lama dan akan mengalami kekalahan demi kekalahan. Benar juga kata beliau kerana itulah realiti senarionya pada PRU 12 kali ini. Kita juga perlu ingat, mana-mana kerajaan yang mengamalkan dasar tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur dan akhirnya menyesal kerana tidak boleh ditegur dan marah apabila ditegur akan mengalami kekalahan dan kemarahan rakyat yang berganda.
No comments:
Post a Comment