:: iklaneka ::

Monday, April 14, 2008

BLOG DAN PENDIDIKAN

[ Artikel ini elok dan baik untuk dibaca dan dikaji demi untuk kebaikan kita bersama sebagai masyarakat pendidik, selamat membaca ! ]

Aplikasi blog semakin popular dan menjadi gaya terkini komunikasi. Kewujudan blog menjadikan komunikasi maya semakin interaktif dan menarik. Kewujudan blog juga telah merancakkan dimensi dan aplikasi bahasa utama dunia dalam pelbagai aspek, terutamanya di dalam bidang pendidikan.

Blog berasal daripada perkataan Inggeris iaitu web log dan dipendekkan kepada blog sahaja oleh pengamal dan pengendali terawal laman blog di Amerika Syarikat. Sehingga kini, belum ada istilah dalam bahasa Melayu yang sesuai yang merujuk kepada blog. Blog seolah-olah merupakan sebuah buku catatan harian peribadi, diari atau jurnal dalam talian yang sangat unik, yang membolehkan pembaca maya meninggalkan ulasan dalam bentuk format interaktif. Hal ini dapat mewujudkan komunikasi dua hala dengan perkongsian idea dan pendapat tentang pelbagai perkara dalam kalangan pemblog (blogger) atau kumpulan yang berinteraksi melalui blog.

Blog juga umpama laman sesawang peribadi yang boleh dibina secara percuma, mudah dan praktikal. Kelebihan inilah yang menjadikan blog sebagai tarikan dan mampu menjadi medium interaktif terbaik dalam bidang pendidikan, terutama dalam komunikasi antara guru dengan pelajar. Jika sebelum ini, guru akan mengarahkan pelajar menyediakan kerja kursus, laporan, kerja rumah, dan lain-lain, kini, masanya telah tiba bagi guru dan pelajar berinteraksi melalui blog.

Melalui blog guru dan pelajar dapat dapat berinteraksi dengan mudah tentang hal-hal yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh memberikan tugasan kepada pelajar agar melalui blog, sementara, pelajar boleh mengemukakan soalan tentang hal-hal pembelajaran. Blog berupaya mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang santai, menarik dan menyeronokkkan. Blog boleh dijadikan medium bantuan mengajar dan melaksanakan aktiviti pembelajaran atas talian (online) atau e-pendidikan.

Guru bahasa umpamanya, boleh menyemak dan memperbetulkan susunan ayat, tatabahasa dan sebagainya, isi kandungan blog pelajar. Manakala, guru seni pula boleh memberikan cadangan untuk penambahbaikan blog agar lebih persembahannya lebih kreatif, segar dan menarik. Guru mata pelajaran lain pula boleh membantu pelajar dalam pembelajaran seharian, latih tubi atau tuisyen melalui blog yang boleh dilayari pada bila-bila masa sahaja.

Guru Agama, guru Kaunseling dan guru pendidikan Moral pula boleh memantau etika dan akhlak pelajar agar tidak memasukkan unsur-unsur negatif ke dalam blog atau melayari blog yang isi kandungannya tidak sesuai atau memuatkan perkara-perkara yang negatif. Di samping hal itu, para pelajar juga perlu diingatkan agar tidak melanggar undang-undang harta intelek seperti perlanggaran hak cipta, memuat turun teks dan grafik tanpa kebenaran pemiliknya yang sah dan sebagainya.

Melalui blog juga guru boleh menyediakan rancangan mengajar, petua belajar dan sebagainya yang merupakan rujukan yang amat berfaedah kepada pelajar. Melalui blog juga, guru boleh memuat turun subjek yang berkaitan dengan pengetahuan am, subjek motivasi, rencana, esei, dan lain-lain yang sesuai dan berkaitan dengan pembelajaran di sekolah. Hal ini akan berupaya mewujudkan golongan guru dan pelajar yang lebih kreatif, dinamik, mempunyai nilai tambah, mesra internet dan celik komputer, serta celik sains dan teknologi. Secara tidak langsung, hal ini akan mempengaruhi dan memberikan kesan kepada sistem pendidikan negara yang lebih dinamik, kompetitif dan komprehensif seiring dengan sistem pendidikan di negara maju.

*** Artikel ini dipetik dari MAJALAH DEWAN BAHASA [ EDISI MAC 2008], hasil tulisan Madzlina Haji Nordin, guru di Sekolah Kebangsaan Tanjung Dawai, Kedah.

~ Al-Farabi

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com