:: iklaneka ::

Wednesday, June 24, 2009

Tiada Halangan Bagi Blogger Untuk Menulis

Blog merupakan salah satu medium untuk penulis-penulis mengutarakan sebarang pendapat atau idea yang bernas dan membina kepada pembaca dan pihak-pihak tertentu. Blog juga boleh dijadikan sumber rujukan sebagaimana laman web akhbar tidak kira akhbar arus perdana atau tabloid. Ia merupakan salah satu kaedah penyampaian berita terkini yang sensasi sekarang ini. Begitu popular dan amat digemari oleh ramai golongan penulis tidak kira penulis sambilan atau penulis sepenuh masa.

Pada 18 Jun 2009, saya merujuk kepada kenyataan akbar Utusan, Kerajaan tidak bercadang menyenarai hitam atau menghalang operasi pengendali laman web dan blog sungguhpun mereka terikat dengan peruntukan undang-undang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan bagaimanapun jika berlaku pelanggaran undang-undang maka kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Menurutnya, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang memberi kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

Walaupun begitu, mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa siber, blogger yang membuat kenyataan bertulis melalui blog tidak boleh dikenakan sebarang tindakan undang-undang kerana mereka hanya menyampaikan maklumat yang diterima. Manakala maklumat yang diterima itu tidak semestinya benar atau salah.

Begitu juga dengan media konvensional, tidak ada cara untuk memastikan maklumat yang diterima itu benar atau salah kerana tidak semua maklumat itu benar. Sebagai contoh, isu wabak H1N1, mengikut kenyataan beberapa individu yang berautoriti di Malaysia menyatakan Malaysia selamat dari H1N1 sedangkan beberapa orang rakyat Malaysia yang pulang dari negara-negara yang telah dilaporkan diancam wabak tersebut berjaya memasuki negara tanpa sebarang prosedur kuarantin atau langkah berjaga-jaga.

Di mana silapnya? Kita sama-sama berfikir. Sebenarnya ledakan maklumat yang ada di internet begitu mengkagumkan. Berita atau maklumat yang hendak disampaikan begitu mudah dan cepat. Bahkan cara penyampaiannya begitu ringkas dan tidak perlu melalui prosedur yang banyak dan rumit. Berbanding dengan media konvensional yang perlu melalui prosedur-prosedur tertentu sebelum boleh dipaparkan di medium-medium seperti akhbar, tv, radio dan sebagainya yang perlu melalui prosedur-prosedur seperti penapisan, kelulusan, perbincangan dan penyuntingan.

Jadi untuk memudahkan kerja-kerja penyampaian, blog merupakan medium alternatif bagi penulis atau wartawan untuk menyampaikan maklumat/berita. Mudah, ringkas, cepat dan berkesan! Itulah moto bagi blogger yang ingin menyampaikan maklumat/berita melalui blog secara sepenuh masa atau secara sambilan.

Blog-blog yang dikendalikan oleh wartawan-wartawan tanahair yang terkenal A. Kadir Jasin, MSO dan ramai lagi menjadi turutan bacaan bagi ramai pembaca blog tanahair. Berita yang tidak didedahkan dalam media konvensional, ada dalam blog. Ulasan, kupasan dan komentar penulis berkenaan isu-isu semasa tanahair menjadi bahan rujukan utama pembaca yang setia.

No comments:

 

Hakcipta Terpelihara PANDUANOSS 2009-2012. Sebarang pertanyaan sila emailkan ke : mamn85@gmail.com